Anugerah Industri Muzik edisi ke-24 (AIM24) bakal menyinari pentas Arena of Stars, Genting Highlands pada 13 September 2025, jam 9 malam. Acara gilang-gemilang ini, yang menyaksikan kerjasama sulung bersama penyiar rasmi RTM, bakal menyatukan pelbagai lapisan penggiat muzik tanah air untuk meraikan kecemerlangan seni suara tempatan.

Kembali selepas tiga tahun tanpa penganjuran, AIM24 tampil lebih relevan dengan memperkenalkan tiga kategori baharu yang meraikan identiti pelbagai budaya serta aspirasi global industri muzik Malaysia. Kategori “Lagu Perpaduan Terbaik” menekankan mesej harmoni dan penyatuan rakyat berbilang kaum, manakala “Lagu Tradisional Terbaik” mengangkat warisan muzik yang berakar umbi daripada budaya tempatan. Tidak kurang pentingnya, “Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik” meraikan kejayaan artis Malaysia dalam menjalin kerjasama kreatif rentas sempadan.

Penganjuran AIM24 juga mendapat suntikan besar daripada Kementerian Komunikasi Malaysia, yang memperuntukkan RM700,000 melalui Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah MyCreative Ventures. Dana ini akan disalurkan kepada 11 pemenang kategori tertentu sebagai galakan untuk meneruskan penghasilan kandungan muzik yang berkualiti dan berdaya saing secara komersial.

Menurut Rosmin Hashim, Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24, edisi kali ini bukan sekadar meraikan pencapaian, tetapi turut memperkukuh naratif kepelbagaian dan keterangkuman dalam ekosistem muzik tanah air. Katanya, kerjasama erat dengan RTM sebagai penyiar rasmi membuka peluang lebih luas untuk bakat tempatan diketengahkan kepada khalayak nasional.

Pencalonan bagi AIM24 dibuka dari 4 Jun hingga 4 Julai 2025, dan terbuka kepada karya muzik dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina serta India yang diterbitkan antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024. Semua pencalonan boleh dihantar secara atas talian menerusi laman web rasmi: aim1.org.my.

AIM24 merangkumi 31 kategori, termasuk Anugerah Sri Wirama yang menjadi pengiktirafan tertinggi kepada tokoh yang banyak menyumbang kepada industri. Penilaian dibuat oleh panel bebas yang terdiri daripada pakar-pakar muzik tempatan dan diaudit secara profesional bagi memastikan ketelusan.

Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman, menyifatkan penglibatan RTM sebagai bukti komitmen untuk terus menyokong penggiat seni tanah air. Menurut beliau, AIM bukan sekadar platform anugerah, tetapi simbol apresiasi terhadap bakat, usaha dan semangat dalam menghasilkan karya berkualiti.

RTM dan RIM optimis bahawa penganjuran AIM24 akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri muzik yang mampan serta memberi inspirasi kepada generasi baharu dalam melakar kejayaan di pentas tempatan mahupun antarabangsa.

Untuk senarai penuh kategori, kriteria kelayakan dan maklumat lanjut mengenai AIM24, sila layari laman rasmi www.aim1.org.my.