Dunia hiburan tempatan sekali lagi dikejutkan dengan kemunculan sebuah karya muzik penuh emosi apabila penyanyi berkarisma Hazama melancarkan single terbaharu berjudul “Aku Bukan Narsisis”, yang dipilih sebagai lagu tema rasmi drama bersiri Dia Bukan Syurga. Drama adaptasi novel popular nukilan Rissa Ahdiya ini bakal menemui penonton menerusi Slot MegaDrama di Astro Ria bermula 19 Mei 2025.

Dicipta dan diterbitkan oleh komposer prolifik Farouk Roman, lagu ini disuntik dengan sentuhan lirik mendalam hasil kolaborasi Hazama bersama penulis lirik Zel Hadauan. “Aku Bukan Narsisis” membawa penonton menyelami konflik dalaman seorang lelaki bernama Tajul – watak utama dalam drama – yang bergelut dengan identiti serta emosi yang tidak stabil dalam percintaan dan perkahwinan.

Menerusi perspektif Tajul, pendengar dibawa menelusuri dunia gelap cinta yang sering disalah tafsir. Tajul bukanlah seorang pencinta narsisis seperti yang disangka – sebaliknya, dia hanyalah insan yang dibelenggu rasa takut, kekurangan diri, dan ketaksuban terhadap kesempurnaan cinta. Lirik seperti “Engkau Sang mentari menghangatkan, engkau bayang-bayang mendinginkan. Engkau juga seteru, engkau juga kekasih” menggambarkan konflik emosi yang berlapis dan mendalam.

Dia Bukan Syurga mengisahkan Nuha, dilakonkan oleh Ezzanie Jasny, yang terperangkap dalam rumah tangga toksik bersama Tajul (Niezam Zaidi), seorang lelaki yang panas baran dan cemburu melampau. Lagu ini bukan sekadar melatari babak-babak dramatik dalam drama tersebut, malah berfungsi sebagai ekspresi batin Tajul – mencerminkan sisi luka seorang lelaki yang mencintai tetapi dalam masa sama menyakiti. “Cinta ini sarat, meski zahir tak terlihat… Hingga akhir hayat” – baris lirik ini menegaskan betapa cinta boleh menjadi beban apabila emosi tidak diuruskan dengan matang.

Disusun dengan muzik dramatik dan dinyanyikan penuh penghayatan oleh Hazama, lagu ini menyuntik kekuatan naratif kepada drama arahan Rashid Sibir terbitan Radius One Sdn. Bhd., yang turut menampilkan Nazim Othman dalam barisan pelakon.

Lebih dari sekadar kisah cinta, Dia Bukan Syurga menyentuh isu penderaan psikologi, trauma hubungan, dan kepincangan kawalan emosi dalam perkahwinan – menjadikan ia satu naskhah penting yang membuka mata terhadap realiti sebenar di sebalik tabir rumah tangga.

Single “Aku Bukan Narsisis” boleh dinikmati di semua platform penstriman digital mulai 16 Mei 2025. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama penuh Dia Bukan Syurga yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (Saluran 104) dan On Demand. Drama ini akan disiarkan sebanyak 32 episod.

Maklumat Lagu:

  • Tajuk: Aku Bukan Narsisis

  • Artis: Hazama

  • Komposer & Penerbit: Farouk Roman

  • Penulis Lirik: Hazama & Zel Hadauan

  • Publisher: Nova Music

  • Drama Adaptasi: Dia Bukan Syurga karya Rissa Ahdiya

  • Tarikh Tayangan Drama: 19 Mei 2025

  • Saluran: Astro Ria, Slot MegaDrama