Selepas mencuri tumpuan industri filem Kollywood menerusi lagu runut bunyi AK The Tiger dalam filem Good Bad Ugly, legenda muzik Tamil tanah air, Darkkey Nagaraja, kini bersedia menggegarkan pentas dengan konsert solo pertamanya.

Konsert bertemakan I Am Darkkey: King of Samba Rock ini bakal berlangsung di Panggung Bangsawan Melaka pada 2 Ogos akan datang. Penganjuran istimewa ini direalisasikan oleh Melaka Maju Peoples Charity Club (MMPCC), dengan objektif utama mengumpul dana untuk aktiviti kebajikan melibatkan golongan memerlukan, anak yatim serta sokongan dalam bidang pendidikan.

Menurut Presiden MMPCC, T Manimaran, keterlibatan Darkkey dalam dunia perfileman India mencetuskan fenomena luar biasa yang memberi inspirasi kepada pihaknya untuk menjayakan konsert ini. Tambahnya, inisiatif ini bukan sekadar meraikan seniman tempatan tetapi juga sebagai manifestasi semangat memperkasakan komuniti melalui seni.

Darkkey, yang telah mencorak landskap muzik rock Tamil sejak era 90-an, tampil konsisten dalam perjuangan seninya. Kemunculannya dalam filem Kollywood terbaru bukan sahaja memperluaskan pengaruhnya, tetapi juga membuktikan ketulenan bakat yang merentas sempadan.

Konsert dua jam ini turut mendapat kerjasama daripada Patahati Universe selaku peneraju produksi, manakala Panggung Bangsawan Melaka dan Tourism Melaka berperanan sebagai rakan strategik. Urusan publisiti dan tiket pula dikendalikan oleh Mewah Event Management dan iLasso Tickets.

Tiket akan mula dijual pada 6 Jun ini melalui laman web ilassotickets.com, dengan tiga kategori iaitu RM69 (Puli Puli – berdiri), RM79 (Akamage – duduk), dan RM89 (Adiva Adiva – duduk). Setiap pembelian tiket duduk akan disertakan dengan lanyard eksklusif serta poster bertandatangan.

S Partiben selaku Setiausaha MMPCC meluahkan keyakinan bahawa penganjuran ini bakal menjadi platform pengenalan yang bermakna buat NGO tersebut. Kemunculan penyanyi muda berbakat seperti Santesh dan Zubir Khan dalam konsert ini dijangka memeriahkan lagi persembahan yang menyatukan tiga generasi pemuzik.

Santesh yang dikenali menerusi lagu Melayu hit “Amalina” dan Zubir Khan yang popular dengan “Yennode Macha”, mewakili generasi baharu muzik Tamil-Malaysia yang kini semakin mendapat tempat di hati khalayak pelbagai kaum.

Pengurus Besar Panggung Bangsawan Melaka, Datin Sukhirah Ibrahim menyifatkan konsert ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk menjadikan panggung warisan tersebut sebagai nadi seni baharu negeri bersejarah itu. Lokasinya yang strategik di zon penampan UNESCO dan pembaharuan oleh MCorp menjadikan venue ini pilihan menarik untuk persembahan berskala besar.

Cassandra, Pengarah Projek Patahati Universe pula menyatakan hasrat menjadikan konsert ini sebagai batu loncatan untuk memperkenalkan Melaka sebagai destinasi alternatif konsert dan acara muzik, dengan kelebihan harga yang lebih berpatutan dan suasana yang kaya nilai sejarah.

Gabungan legenda dan bakat baharu dalam I Am Darkkey: King of Samba Rock Concert ini menjanjikan malam penuh memori – bukan sekadar persembahan, tetapi satu bentuk penghargaan kepada seni, budaya dan masyarakat.