Filem animasi tempatan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) mencipta satu kejayaan luar biasa apabila berjaya meraih kutipan melebihi RM34.2 juta dalam tempoh hanya 11 hari tayangan. Pencapaian ini bukan sahaja memecahkan rekod filem sulungnya, malah menjadikan EATM2 filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi dalam masa yang paling singkat.
Menariknya, EATM2 turut berjaya mengatasi beberapa filem antarabangsa yang turut ditayangkan pada Mei 2025, termasuk judul-judul popular seperti Thunderbolts, Mission: Impossible, dan Lilo & Stitch. Kejayaan ini membuktikan kehebatan dan daya saing karya tempatan yang semakin mendapat tempat di hati penonton Malaysia, meskipun berhadapan dengan saingan sengit dari produksi luar negara.
Lebih 2 juta penonton telah melaporkan diri untuk menyaksikan EATM2 sejak tayangan dibuka pada 29 Mei lalu. Filem ini menjadi pilihan utama keluarga sepanjang musim cuti sekolah, dengan ramai yang berkongsi pengalaman menonton filem ini lebih daripada sekali bersama ahli keluarga. Aktiviti ini telah menjadi satu tradisi baru beriadah sambil mengeratkan hubungan kekeluargaan di pawagam.
Menurut pengarah filem, Encik Usamah Zaid Yasin, penghasilan sekuel ini dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas demi memenuhi jangkaan peminat setia. “Reaksi penonton yang menunjukkan pelbagai emosi seperti tawa, air mata dan tepukan di pawagam adalah hadiah paling berharga buat kami. Ini juga menjadi dorongan untuk kami terus mengembangkan dunia penceritaan Ejen Ali,” katanya. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para ‘ejen’ yang telah berulang kali menyokong filem ini di pawagam.
Sementara itu, Puan Nini Yusof, Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, menyatakan rasa syukur terhadap pencapaian ini. “Kutipan RM34.2 juta bukan sekadar angka, ia melambangkan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap kualiti produksi animasi tempatan dan usaha keras tenaga kerja kita. Kami amat menghargai sokongan yang berterusan dari semua peminat,” ujarnya.
Kejayaan EATM2 juga mendapat perhatian ramai selebriti tempatan. Biduanita negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, turut meluangkan masa bersama anak-anaknya menonton filem ini. Melalui hantaran di platform TikTok, beliau memuji mesej positif yang disampaikan filem tersebut. “Bagi saya, Ejen Ali The Movie 2 membawa banyak nilai murni seperti disiplin, keberanian dan keyakinan diri. Ia sangat sesuai untuk tontonan keluarga terutama semasa cuti sekolah,” katanya.
Filem Ejen Ali The Movie 2 masih lagi ditayangkan di pawagam seluruh negara. Bagi yang belum berpeluang menonton, inilah masa terbaik untuk menyertai fenomena animasi terbesar Malaysia dan menikmati kisah aksi yang penuh pengajaran.
Kepada ibu bapa dan para ‘ejen’, jangan lepaskan peluang untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga. Pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan mewarna, penampilan maskot serta koleksi barangan terhad turut diadakan di pawagam terpilih bagi menambah keseronokan pengalaman menonton.
Untuk mengikuti perkembangan terkini, konten eksklusif serta kemas kini di sebalik tabir, jangan lupa melawat saluran YouTube rasmi Ejen Ali dan media sosial Primeworks Studios Film. Gunakan tanda pagar #ejenalithemovie2 #eatm2 #ejenali #AniMY #sapotlokal #SaluteAnimatorTempatan untuk berkongsi pengalaman anda dan meriahkan perbualan di media sosial!
0 Comments
Post a Comment