Tiga dekad dalam dunia seni bukan satu tempoh yang mudah, namun buat penyanyi dan pengacara versatil Haiza, ia adalah bukti ketekunan, bakat dan cinta terhadap industri hiburan tanah air. Sempena ulang tahun ke-30 penglibatan beliau dalam industri seni, Haiza melancarkan Dag Dig Dug 3.0, versi baharu lagu yang pernah melonjakkan namanya menerusi album sulung Dag Dig Dug… Mana Tahan pada tahun 1995.

Karya ikonik yang dicipta oleh Dedi Abdul Kadir Nughra ini diberi suntikan segar dari segi susunan muzik dan penghasilan teknikal. Haiza terbang ke Bandung, Indonesia pada Disember lalu bagi merakamkan semula lagu tersebut bersama penerbit dan arranger terkenal Diki Suwarjiki serta Ari Yujeng yang bertindak dalam proses mixing dan mastering. Kedua-dua tenaga kreatif ini berpengalaman luas dalam penghasilan muzik di peringkat nasional, menjadikan Dag Dig Dug 3.0 lebih dinamik dengan rentak moden berinspirasikan elemen 'koplo' tanpa mengetepikan elemen dangdut yang sudah sinonim dengan Haiza.

“Saya rakam semula lagu ini bukan sahaja sebagai simbolik 30 tahun saya dalam industri, tetapi juga sebagai memenuhi permintaan ramai peminat dan rakan-rakan yang mahu versi yang lebih segar, lebih matang. Lagu asal itu saya rakam ketika usia 15 tahun, kini saya tampil dengan suara dan pengalaman yang jauh berbeza,” ujar Haiza ketika ditemui pada majlis pelancaran Haiza Dag Dig Dug 30 Tahun di Geo Resort & Hotel, Genting Highlands baru-baru ini.

Pelancaran ini juga dimeriahkan dengan penayangan dokumentari khas bertajuk 3 Dekad Dag Dig Dug Haiza yang diterbitkan Kool 101 dan boleh ditonton di saluran YouTube rasmi mereka bermula 21 Jun. Dokumentari ini memaparkan perjalanan seni Haiza yang merentasi bidang nyanyian, pengacaraan, lakonan dan juga dunia radio.

Majlis turut mendapat sokongan daripada beberapa penaja utama antaranya Geo Resort & Hotel Genting Highlands selaku lokasi rasmi, Peterana Chenta (dekorasi), dan Kool 101 selaku radio rasmi. Turut serta sebagai rakan strategik ialah Alpha Sound & Light, FKZ Picture, NR Cosmetic, Adabi, Pop Meals, Super Coffee, By Qiss Bawal Exclusive Kuantan, Jaja Ishak Channel dan NMR Sports.

Dag Dig Dug 3.0 kini boleh didengari di semua platform digital mulai 20 Jun, manakala video muzik rasmi boleh ditonton di YouTube Indigital Music. Projek ini dibawa secara eksklusif oleh My Own Entertainment dan Indigital Music sebagai penghargaan kepada perjalanan tiga dekad Haiza dalam industri seni tanah air.