Ernie Zakri dan Anggi Marito sekali lagi mengukir sejarah apabila mereka mempersembahkan lagu baharu mereka, “Kisah Penuh Kecewa”, secara langsung buat pertama kali di Aura: Ernie Zakri Live in Concert yang berlangsung di The Theatre at Mediacorp, Singapura pada 31 Mei 2025. Penampilan istimewa Anggi Marito yang berasal dari Indonesia menambahkan seri pada persembahan yang penuh emosi itu, sekaligus memperlihatkan sinergi hebat antara dua penyanyi berbakat dari negara jiran.
Selepas konsert yang penuh bermakna tersebut, Anggi meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan lagu duet mereka. Antara acara yang dinantikan adalah sesi makan malam eksklusif bersama peminat di restoran bersejarah Hameediyah Bukit Bintang pada 4 Jun 2025. Acara ini menyediakan suasana yang mesra dan intim di mana para peminat berpeluang menikmati hidangan istimewa sambil berinteraksi dengan kedua-dua artis yang disayangi ramai. Hameediyah turut menerima pujian kerana menyediakan suasana yang sempurna bagi menjayakan malam istimewa ini.
Lagu “Kisah Penuh Kecewa” menampilkan kekuatan vokal luar biasa dan sentuhan emosi mendalam daripada Ernie dan Anggi. Menerusi lagu balada ini, mereka membawa pendengar melalui pengalaman cinta yang berakhir dengan penuh kepahitan, namun tidak kehilangan harapan dan kekuatan untuk meneruskan hidup. Menurut Ernie, walaupun kisah yang dilantunkan penuh duka, mesej kekuatan dan ketabahan adalah elemen penting yang cuba disampaikan melalui lagu ini.
Bagi Ernie, lagu ini berkisarkan tentang sebuah hubungan yang terhenti bukan disebabkan ketiadaan rasa, tetapi kerana salah satu pihak memilih untuk mengakhiri hubungan tersebut. Walaupun sedih, lagu ini membawa harapan bahawa individu yang terluka tetap mampu bangkit dan terus melangkah maju. Ernie juga menyatakan bahawa kolaborasi dengan Anggi membuktikan bahawa muzik mampu merentasi batasan geografi dan budaya, menjalin ikatan melalui emosi yang tulus.
Dari sudut pandang Anggi Marito, berpeluang bekerjasama dengan Ernie Zakri adalah satu penghormatan besar. Sebagai peminat Ernie, Anggi sangat kagum dengan keupayaan vokal serta cara penyampaian perasaan yang begitu mendalam oleh Ernie. Kolaborasi ini baginya bukan sahaja satu pengalaman profesional yang bermakna, malah membuka peluang baru dalam perjalanan seni muziknya.
Lagu duet ini telah boleh didengarkan di semua platform penstriman digital sejak 23 Mei 2025. Video muzik rasmi yang turut dilancarkan menampilkan naratif visual yang padan dengan kekuatan vokal dan emosi yang dibawakan oleh kedua-dua penyanyi, memberi pengalaman yang lengkap kepada peminat dan pendengar setia.
0 Comments
Post a Comment