Kejayaan membanggakan telah dicapai oleh MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari MRSM Ulul Albab FELDA Trolak apabila mereka merangkul Anugerah Emas ‘Golden Diploma Award’ dalam kategori ‘middle class’ di Festival Antarabangsa Wind Orchestras ke-26 yang berlangsung di Prague, Republik Czech, pada 20 dan 21 Jun 2025. Pertandingan ini menyaksikan penyertaan 13 kumpulan orkestra dari 11 buah negara, dan Malaysia tampil sebagai satu-satunya wakil dari Asia.
Pengumuman rasmi kemenangan MAWO dibuat pada 21 Jun 2025 jam 8 malam waktu tempatan (2 pagi waktu Malaysia) di Hotel Olsanka Prague. Dalam pertandingan yang sengit, MAWO berjaya mengatasi tujuh kumpulan orkestra lain dari enam negara Eropah, dan dinobatkan sebagai penerima markah tertinggi oleh panel juri profesional. Penilaian dilakukan berdasarkan kualiti persembahan, kecekapan teknikal serta penguasaan komposisi muzik bertaraf antarabangsa, meletakkan MAWO di kedudukan unggul dalam kategori mereka.
Festival ini membahagikan peserta kepada tiga kategori – lower class, middle class dan higher class – berdasarkan tahap kesukaran karya muzik dan kemahiran persembahan kumpulan. Penyertaan MAWO dalam kategori middle class membuktikan keupayaan mereka menguasai karya muzik pada tahap mencabar, sekaligus mengukuhkan reputasi Malaysia di arena muzik antarabangsa.
Kejayaan ini juga memberi signifikan besar terhadap sistem pendidikan Ulul Albab yang diterapkan di MRSM serta sokongan berterusan FELDA dalam pembangunan bakat anak muda luar bandar. Pencapaian cemerlang MAWO menjadi bukti bahawa dengan disiplin, latihan berstruktur dan sokongan komuniti, pelajar dari kawasan FELDA mampu bersaing di peringkat dunia.
MAWO dijangka pulang ke tanah air pada 23 Jun 2025, jam 2 petang, disambut dengan penuh kebanggaan oleh pihak sekolah, komuniti FELDA dan rakyat Malaysia. Kemenangan mereka bukan sahaja mencipta sejarah baharu dalam arena muzik sekolah, malah menjadi pencetus semangat dan inspirasi buat generasi muda untuk terus mengejar kecemerlangan tanpa mengenal sempadan.
0 Comments
Post a Comment