Muzik dan animasi bergabung sempena cuti sekolah apabila kumpulan terkenal dari Indonesia, Nidji, kembali ke Malaysia dalam kerjasama istimewa bersama francais animasi popular tempatan, Ejen Ali. Sempena tayangan Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), kehadiran Nidji bukan sekadar memeriahkan suasana, tetapi juga sebagai penghargaan buat para peminat setia kedua-dua dunia—Nidjiholics dan pencinta aksi Ejen Ali.
Kesempatan ini membawa peluang eksklusif untuk para peminat menyertai aktiviti Ejen Ali Nonton Bareng with Nidjiholics yang bakal berlangsung pada 1 Jun. Acara ini membuka ruang kepada peminat untuk bertemu secara langsung dengan ahli kumpulan Nidji dan bersama-sama menyaksikan tayangan perdana filem EATM2 di dua lokasi utama. Di GSC IOI City Mall Putrajaya, dua sesi tayangan pada jam 2:25 petang dan 2:45 petang disusuli dengan sesi Meet & Greet yang menampilkan Nidji serta maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia. Manakala di GSC One Utama pula, peminat boleh bertemu Nidji pada jam 9:00 malam dan menonton bersama pada jam 9:15 malam.
Dengan pembelian tiket berharga RM35, penonton bukan sahaja menikmati filem animasi berkualiti tinggi, malah turut menerima barangan rasmi eksklusif Ejen Ali sebagai kenang-kenangan. Acara ini dijangka menjadi antara sorotan utama sepanjang musim cuti sekolah, memperkukuh lagi ikatan antara dunia hiburan muzik, animasi dan peminat dari pelbagai latar usia.
Tidak terhenti di situ, Nidji turut dijadualkan membuat penampilan istimewa di TGV Central i-City, Shah Alam pada 3 Jun. Mereka akan mengadakan lawatan khas ke empat dewan tayangan selepas sesi tayangan bermula dari jam 12:30 tengah hari hingga 1:15 petang. Suasana mesra dan santai ini membolehkan penonton bergambar bersama Nidji dan maskot animasi kesayangan ramai, selain berpeluang memenangi hadiah-hadiah eksklusif berkaitan filem.
Sebagai kemuncak lawatan mereka ke Malaysia, Melodi Showcase: Nidji x EATM2 Music Tour bakal disiarkan di TV3 sepanjang bulan Jun. Acara istimewa ini menjadi sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-41 TV3 dan menampilkan persembahan lagu-lagu hits Nidji termasuk lagu tema ‘Teman Sejati’ yang semakin mendapat tempat di hati peminat. Penonton boleh mengharapkan persembahan penuh semangat yang membangkitkan nostalgia dan menghidupkan semula kenangan lagu-lagu popular mereka.
Kejayaan kolaborasi ini banyak bergantung kepada kekuatan lagu ‘Teman Sejati’, yang bukan sahaja menyentuh perasaan, tetapi juga selari dengan tema utama filem—persahabatan dan semangat berjuang. Dengan susunan muzik pop yang dinamik dan mesej lirik yang kuat, lagu ini menjadi simbol kepada ikatan para ejen dalam menghadapi ancaman besar dalam naratif filem, menjadikan ia anthem rasmi untuk generasi baru peminat Ejen Ali.
Untuk menjadikan cuti sekolah anda lebih bermakna, rebut peluang untuk menyertai siri aktiviti eksklusif ini. Dapatkan tiket anda segera di laman rasmi GSC atau TGV, dan sertai pengalaman hiburan yang penuh aksi, emosi dan kenangan tak terlupakan. Jangan lupa gunakan tanda pagar rasmi seperti #EjenAliTheMovie2 #EATM2 #EjenAli #Letsplay #AniMY #SapotLokal dan #SaluteAnimatorTempatan bagi menyemarakkan lagi semangat komuniti di media sosial!
0 Comments
Post a Comment