Diterbitkan oleh Sha’s Media Sdn Bhd, drama 20 episod ini menyajikan naratif penuh emosi yang mengangkat tema pengorbanan, cinta keluarga dan harapan yang tidak pernah padam. Baby Papa mengajak penonton mengikuti perjalanan getir seorang ayah tunggal dan anaknya dalam usaha menyatukan kembali sebuah keluarga yang terpisah.
Menampilkan gandingan mantap Faizal Hussein, Kirana Batrisyia, Emelda Rosmila, Fauziah Nawi dan ramai lagi, watak utama Alisha (Kirana Batrisyia) digambarkan sebagai seorang kanak-kanak yang cerdas, periang dan berhati mulia. Dia tinggal bersama ayahnya, Didie (Faizal Hussein), seorang lelaki yang tabah namun berdepan kemurungan setelah kehilangan ibu tersayang, lakonan Fauziah Nawi.
Sebuah amanah terakhir yang ditinggalkan oleh arwah nenek membawa Alisha dan Didie ke ibu kota dalam misi mencari Rosie (Emelda Rosmila), ibu kandung Alisha. Namun pencarian itu bukan mudah. Dalam usaha mereka menjejak Rosie yang telah berpindah tanpa khabar, Alisha tetap teguh dengan semangatnya yang luar biasa dan sikapnya yang tidak pernah lelah membantu orang lain sepanjang perjalanan.
Drama ini bukan sekadar paparan perjalanan fizikal, tetapi juga sebuah kisah pertumbuhan emosi dan rohani antara dua insan yang saling bergantung harap. Persoalan besar menanti – adakah Alisha akan berjaya menemui ibunya? Atau adakah dia bakal belajar bahawa keluarga tidak semestinya sempurna, tetapi tetap berharga?
Satu lagi karya menyentuh hati daripada TV3, Baby Papa menjanjikan babak-babak yang mampu meruntun jiwa dan menyedarkan kita tentang erti sebenar kasih seorang ayah.
Ikuti perkembangan terkini drama ini melalui laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia serta Instagram @dramasangat.
0 Comments
Post a Comment