Selepas mencuri perhatian peminat dengan lagu debut “Mona Lisa (Bang Bang)”, kumpulan lelaki ALPHA kini kembali dengan single kedua berjudul “P. Ramlee & Saloma” yang memperlihatkan perubahan ketara dari segi muzik. Jika sebelum ini mereka tampil dengan genre pop moden yang bertenaga, kali ini mereka mempertaruhkan lagu balada yang lebih perlahan, sarat emosi dan menyentuh jiwa. Lagu ini diterbitkan sepenuhnya di bawah Rocketfuel Entertainment, hasil ciptaan tiga komposer berbakat iaitu Justin Seow, Mohsein Kush dan RFE.

Kumpulan ALPHA yang dianggotai oleh Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Sky menampilkan sisi versatil mereka menerusi karya ini. “P. Ramlee & Saloma” bukan sekadar sebuah lagu, tetapi juga satu manifestasi kepada identiti sebenar mereka – berani mencabar norma dan tampil dengan bunyi serta gaya tersendiri dalam industri muzik yang semakin kompetitif.

Kisah kemunculan ALPHA bermula daripada pentas program realiti Big Stage Alpha, sebuah cabang baharu kepada rancangan popular Big Stage, namun kali ini memberi tumpuan eksklusif kepada peserta lelaki. Seramai 18 peserta dari Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia bersaing selama lapan minggu dalam pelbagai cabaran, latihan intensif serta persembahan yang dinilai oleh juri profesional iaitu Edry Abdul Halim, Datuk Syafinaz Selamat dan Hael Husaini. Hanya tujuh bintang paling menyerlah dipilih untuk membentuk kumpulan ALPHA, gabungan unik bakat yang memiliki vokal mantap, karisma dan daya tarikan tersendiri.

Nama ALPHA membawa makna simbolik – ia mewakili kekuatan, permulaan dan kepimpinan. Gabungan tujuh karakter berbeza ini disatukan oleh impian dan visi bersama untuk membawa muzik Asia Tenggara ke pentas antarabangsa. Mereka hadir dengan semangat yang segar, muzik yang berani dan misi untuk menyerlahkan keunikan bakat serantau dalam acuan mereka sendiri.

Lagu sulung mereka “Mona Lisa (Bang Bang)” yang dilancarkan pada awal Julai mendapat sambutan luar biasa dengan lebih 250 ribu tontonan di YouTube dalam tempoh singkat. Lagu ini merupakan hasil ciptaan Justin Seow, Kuizz, James Chaw, Sean Lew, Roland Lim Shi Jie, Tyler Sarfert dan Prem Anand, memperkenalkan ALPHA sebagai kumpulan yang moden, bergaya dan penuh tenaga, dengan elemen K-pop yang kuat dan melodi yang catchy.

Pelancaran ALPHA juga merupakan sebahagian daripada strategi Rocketfuel Entertainment dalam memperkasa bakat tempatan dan serantau. Menurut Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee, bakat Asia Tenggara perlu diberi ruang dalam acuan tersendiri agar mampu bersaing di peringkat antarabangsa. ALPHA, katanya, adalah bukti bahawa dengan platform dan bimbingan yang betul, bakat dari rantau ini mampu bersinar setanding bintang global.

Kini, single “P. Ramlee & Saloma” boleh distrim di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music dan banyak lagi. Video muzik rasmi turut dijangka akan dilancarkan tidak lama lagi di saluran YouTube rasmi RocketFuelNetwork, sekaligus menandakan langkah seterusnya dalam perjalanan muzik ALPHA yang kian mantap.