Sambutan ulang tahun ke-41 TV3 yang bertemakan “41 Tahun Penuh Drama” menyaksikan kejayaan dua inisiatif istimewa yang memperkasa bakat tempatan  Pencarian Pelakon Drama Sangat dan Pitch Story Anda ke TV3! Kedua-dua program ini bukan sahaja mencungkil potensi baharu dalam dunia lakonan dan penulisan, malah memperkukuh peranan TV3 sebagai pemangkin utama industri kreatif tanah air.

Selepas sesi ujibakat yang berlangsung sejak 31 Mei 2025 dan menerima penyertaan hampir 300 peserta dari seluruh Malaysia, dua wajah baharu akhirnya menyerlah sebagai pemenang utama. Zairi Aziz dan Ariana Yusof diumumkan sebagai bakat paling menyerlah hasil pemilihan oleh juri profesional tersohor, Erma Fatima dan Datuk Hasniza Nordin. Penilaian dibuat berdasarkan bakat semula jadi, keaslian emosi serta potensi jangka panjang dalam industri lakonan.

Sebagai ganjaran, kedua-dua pemenang bakal menandatangani kontrak eksklusif selama tiga tahun bersama Alternate Records, dan akan membintangi drama terbaharu terbitan TV3 tidak lama lagi. Peluang ini sekali gus menjadi batu loncatan untuk mereka melangkah lebih jauh dalam dunia seni tempatan.

Dalam masa yang sama, program Pitch Story Anda ke TV3! yang memberi ruang kepada penulis skrip baharu dan pencipta idea untuk menonjolkan kreativiti mereka turut melabuhkan tirai dengan tiga idea dipilih sebagai pemenang. Mereka berjaya membawa pulang hadiah wang tunai daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM9,000.

Senarai pemenang adalah seperti berikut:

  • Juara (RM5,000): Takdir Tak Bernama oleh Nur Yusrina Saliman

  • Tempat Kedua (RM3,000): Block C oleh Nur Adam Syahmi Samril

  • Tempat Ketiga (RM1,000): Denda(m) oleh Muhammad Zahin Adlan Zailani & Ahmad Adam Mohamad Adan

Kedua-dua inisiatif ini membuktikan kesungguhan TV3 dalam membuka ruang kepada lebih banyak suara dan wajah baharu untuk menerajui dunia hiburan tanah air. Dengan bakat baharu yang menjanjikan dan idea cerita yang segar, para penonton boleh menantikan nafas baharu dalam siri-siri drama akan datang hanya di TV3.

Untuk sebarang perkembangan terkini, ikuti saluran media sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram menerusi akaun @TV3Malaysia, serta laman Instagram rasmi @dramasangat. Jangan lepaskan peluang menyaksikan transformasi dunia drama yang lebih segar dan penuh emosi!