Siapa sangka, ilham yang datang dari sepanduk kecil di restoran mamak akhirnya berkembang menjadi sebuah kisah menyentuh hati tentang kasih sayang, pengorbanan dan harapan. Itulah kisah di sebalik terhasilnya Susu Lima Kupang, telefilem baharu arahan Janna Nick yang bakal menemui penonton dalam slot Cerekarama TV3, Sabtu ini, 19 Julai 2025 jam 10 malam.

Mengangkat kisah Zakaria, seorang budak lelaki berusia sembilan tahun yang hidup serba kekurangan bersama ibunya yang autistik dan nenek tersayang, naskhah ini sarat dengan nilai kekeluargaan. Zakaria, lakonan Aiman Badrul, memilih untuk membantu keluarganya berbanding pergi ke sekolah, lantaran sering dibuli kerana tiada bapa di sisi. Segalanya berubah apabila seekor kambing bunting, yang dinamakan Maryam, hadir dalam hidupnya. Dari kambing itulah muncul peluang untuk mengubah nasib—melalui jualan susu demi membeli radio baharu buat ibunya yang amat dihargai.

Trisha Ooi membawa watak ibu yang penuh cabaran dari segi emosi dan mental, manakala Farah Ahmad menyuntik kekuatan sebagai nenek penyayang yang menjadi tunjang keluarga. Pelakon-pelakon ini berjaya menghidupkan lapisan emosi dengan jitu dan menyentuh kalbu.

Projek Susu Lima Kupang merupakan sebahagian daripada inisiatif istimewa TV3, Dari Layar Ke Lensa, yang memberi ruang kepada empat bintang terkenal tanah air—Siti Saleha, Fattah Amin, Janna Nick dan Zahiril Adzim—untuk duduk di kerusi pengarah. Ia membuka laluan kepada idea-idea segar dan perspektif baharu dalam penceritaan drama tempatan.

Janna Nick sendiri tidak menyangka idea asal naskhah ini hadir secara spontan. “Saya ternampak poster susu kambing semasa sedang berbincang dengan kru produksi di restoran mamak. Dari situ timbul ilham – ‘kenapa tak buat cerita pasal kambing?’,” katanya sambil tersenyum mengimbas detik awal penghasilan skrip ini.

Namun, menurut Janna, mengarah naskhah ini bukanlah satu tugas mudah. “Mengendalikan babak bersama kambing memang mencabar kerana banyak perkara di luar kawalan, termasuk masa penggambaran yang sangat ketat. Tambahan pula, ini pengalaman pertama saya mengarah di luar produksi sendiri. Banyak perkara saya pelajari—dari soal kepimpinan hingga pengurusan bajet,” jelasnya.

Lebih daripada sekadar drama kekeluargaan, Janna turut menyelitkan mesej sosial yang mendalam. “Saya mahu penonton sedar bahawa dalam Islam, tiada istilah anak haram. Yang haram hanyalah perbuatan, bukan kelahiran seseorang. Selain itu, saya harap penonton lebih menghargai nikmat yang dimiliki dan tidak berhenti mencari kebahagiaan walau dalam kekurangan,” tambahnya lagi.

Dari Layar Ke Lensa telah menyajikan dua cerekarama terdahulu, dan Susu Lima Kupang menjadi karya ketiga dalam siri ini. Penutup projek akan menyusul pada 26 Julai 2025 dengan telefilem Pencuri Rumah Imam arahan Zahiril Adzim, di slot dan waktu yang sama.

Jangan lepaskan peluang menonton Susu Lima Kupang, Sabtu ini hanya di TV3—sebuah kisah kecil yang membawa mesej besar buat seluruh keluarga Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, ikuti laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia serta Instagram @dramasangat untuk info drama terkini.