Poligami sering digambarkan sebagai jalan penyelesaian bagi pasangan yang mendambakan zuriat atau ingin memperluas kasih sayang dalam rumah tangga. Namun, hakikatnya ia bukanlah semudah lafaz akad, malah menuntut keikhlasan, kekuatan emosi dan keadilan yang tidak semua mampu miliki. Inilah tema utama yang diangkat dalam drama eksklusif Seindah Hujan Cinta, yang kini mencuri perhatian penonton di platform Tonton.
Drama ini mengisahkan pasangan suami isteri, Zarita (lakonan Nelydia Senrose) dan Wassim (Yusuf Bahrin), yang kelihatan sempurna di mata masyarakat, namun menyimpan konflik yang cukup mendalam. Zarita, seorang wanita berdikari yang memilih untuk tidak mempunyai anak, akhirnya merelakan suaminya berkahwin lagi demi kasih yang mendalam terhadap Wassim. Lebih menyayat hati, Zarita sendiri yang mencadangkan agar Wassim menikahi Aneesa (Ezzanie Jasny), adik angkat dan sahabat karibnya sendiri, demi melihat suaminya memiliki zuriat.
Namun, restu bertukar menjadi bara. Keikhlasan Zarita mula goyah apabila cinta suaminya terhadap Aneesa semakin berkembang. Dari seorang isteri yang kelihatan reda dan tenang, Zarita berubah menjadi penuh muslihat bersikap manis di hadapan, namun menyusun strategi di belakang tabir untuk menjatuhkan madu yang pernah dipilihnya sendiri. Fenomena inilah yang dikenali sebagai 'Sindrom Isteri Pertama', satu sisi emosi dalam poligami yang jarang dibicarakan secara terbuka.
Konflik semakin memuncak apabila ibu mertua, Umi (Norma Damanhuri), turut masuk campur dan menolak kehadiran Aneesa dalam keluarga. Dengan dendam lama yang terpendam, Umi sanggup merancang pelbagai helah untuk memecahbelahkan rumah tangga anaknya. Sementara itu, Wassim pula gagal memikul tanggungjawab sebagai suami yang adil sering memihak kepada Zarita dan hanya mencari Aneesa ketika kesepian. Ketiadaan keadilan dalam perhatian, kasih sayang dan nafkah mula menukar poligami menjadi mimpi ngeri buat semua yang terlibat.
Seindah Hujan Cinta membuka mata penonton bahawa poligami bukan sekadar pilihan cinta kedua, tetapi sebuah perjuangan emosi yang menuntut keteguhan jiwa. Apakah Aneesa mampu bertahan dalam tekanan berpanjangan daripada madu dan ibu mertua yang tidak pernah menerima kehadirannya? Mampukah Zarita terus menyembunyikan wajah sebenarnya? Dan yang paling penting, adakah Wassim mampu memperbetulkan keadaan atau akan terus menjadi punca keruntuhan rumah tangganya sendiri?
Saksikan drama penuh emosi dan pengajaran ini hanya di Tonton, setiap Isnin hingga Khamis. Strim dan muat turun serendah RM9.90 langgan dan terus layan tanpa henti! Untuk perkembangan terkini, ikuti @tontonmy di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram. Jangan lupa sertai perbualan dalam talian menggunakan #Tonton dan #SeindahHujanCinta.
0 Comments
Post a Comment