Penyanyi berjiwa seni, Marsha Milan, bakal membawa para peminat menyelami irama dan budaya Borneo menerusi sebuah acara eksklusif – Misompuru: Borneo Album Listening Session, yang akan berlangsung pada Ahad, 13 Julai 2025, dari jam 4.00 hingga 6.00 petang di RXP, REX KL.

Misompuru, yang bermaksud “perhimpunan” dalam bahasa Dusun, menjadi simbol semangat kebersamaan yang ingin disampaikan Marsha Milan. Acara ini menjanjikan satu pengalaman imersif yang menggabungkan muzik, seni dan budaya Borneo dalam satu ruang, khas buat peminat serta penggiat industri muzik tempatan.

Album Misompuru bukan sekadar koleksi lagu, tetapi satu karya warisan yang mendalam. Terinspirasi daripada nostalgia dan cinta terhadap tanah kelahiran, Marsha menyampaikan kisah Borneo melalui irama yang sarat dengan emosi dan elemen asli. Ia membawa pendengar mengembara ke dalam identiti budaya Sabah dan Sarawak yang jarang diketengahkan dalam arus muzik popular.

Lebih membanggakan, kejayaan Marsha di pentas Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) telah membuka pintu antarabangsa. Album ini menjadi pasport seni beliau ke ROUND ASEAN-Korea Music Festival 2025, menjadikan Misompuru satu manifestasi seni Borneo yang kini mendapat pengiktirafan serantau dan antarabangsa.

Apa yang menanti anda di Listening Session Misompuru?

  • Persembahan langsung kelima-lima lagu daripada album Misompuru

  • Demonstrasi kebudayaan seperti Magunatip, Sumpit dan Sumazau

  • Sajian makanan dan minuman tradisional Borneo

  • Gerai jualan merchandise eksklusif Marsha Milan

  • Peluang berfesyen ala Borneo dan menerima kejutan istimewa!

Kemasukan adalah percuma, namun tempat duduk adalah terhad, jadi pendaftaran awal sangat digalakkan. Imbas kod QR pada poster rasmi atau layari saluran rasmi Alternate Records & Talents untuk maklumat lanjut.

Senarai lagu dalam album Misompuru:

  1. Nalan Nalan – Marsha Milan & Alena Murang

  2. Lintah Darat – Marsha Milan & Velvet Aduk

  3. Pelangi Pasti

  4. Santai Saja

  5. Hey Aramai Ti – Marsha Milan & Datuk Francis Landong

Album Misompuru kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama. Namun jika anda ingin merasai sendiri kehangatan dan jiwa Borneo yang tulen, acara pada 13 Julai ini adalah tempatnya.

Untuk kemas kini terkini mengenai acara dan aktiviti Marsha Milan serta Alternate Records & Talents, ikuti mereka di: