Dunia muzik tempatan bakal digegarkan dengan sebuah festival berkonsepkan inspirasi apabila Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025 berlangsung pada 17 Ogos 2025 (Ahad) di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Festival ini menjanjikan kelainan yang jarang ditawarkan – dua persembahan berasingan dalam satu hari oleh dua bintang terkemuka dari Indonesia: Tulus dan Juicy Luicy.
Dianjurkan oleh Expoindo dengan kerjasama Thrive, RIF bukan sekadar acara hiburan, sebaliknya ruang bagi peminat muzik menyelami sisi lebih mendalam karya-karya popular artis jemputan. Festival ini mengetengahkan mesej positif dan elemen inspirasi, menjadikannya lebih daripada sekadar konsert biasa.
Tulus, penyanyi bersuara emas yang terkenal dengan lagu-lagu beremosi dan lirik menyentuh jiwa, akan membuka tirai persembahan pada sesi petang bermula 1.30 tengah hari. Pengumuman mengenai kehadirannya sebagai artis fasa kedua telah dibuat pada 16 Julai, sekaligus menaikkan keterujaan peminat yang sudah lama menantikan kemunculan beliau di pentas Kuala Lumpur.
Menjelang malam pula, giliran kumpulan pop alternatif Juicy Luicy pula memanaskan pentas bermula 7.30 malam. Dikenali dengan lagu-lagu seperti Lantas, Lampu Kuning, dan Sialan, kumpulan ini membawa suara generasi muda yang sarat dengan naratif kehidupan dan perasaan.
Menurut wakil Expoindo, Bram Tulong, pemilihan Juicy Luicy sebagai headliner adalah tepat memandangkan pengaruh besar mereka dalam kalangan peminat tempatan. “Lagu-lagu mereka sangat dekat dengan pengalaman harian pendengar – dari cinta, kecewa hingga harapan. Itulah yang menjadikan mereka sebahagian penting dalam RIF 2025,” katanya.
RIF 2025 menawarkan dua sesi persembahan berbeza dalam satu hari, menjadikannya pengalaman padat dan eksklusif yang tidak harus dilepaskan oleh peminat muzik Nusantara.
Tiket untuk sesi petang dan malam kini boleh dibeli melalui aplikasi BBO EVENTS atau laman web rasmi www.ri-fest.com/kualalumpur. Berikut adalah senarai harga tiket bundle:
-
VVIP – RM1,028
-
VIP – RM628
-
Gold – RM458
-
Platinum – RM318
-
Silver – RM268
Peminat yang telah membeli tiket persembahan Juicy Luicy juga boleh menaik taraf (upgrade) tiket mereka untuk menikmati keseluruhan pengalaman festival melalui aplikasi rasmi.
Selain memberikan pengalaman muzik luar biasa, pihak penganjur turut merancang untuk membawa RIF ke bandar-bandar utama lain di seluruh Malaysia. Usaha ini dilihat sebagai satu langkah membina jambatan budaya antara Malaysia dan Indonesia melalui muzik.
Menurut Johnathon Wong dari BBO Events, “Kami percaya muzik adalah medium penyatuan yang kuat. Dengan RIF, kami ingin menghubungkan dua industri hiburan besar serantau dan dalam masa yang sama menyebarkan inspirasi dan nilai-nilai positif.”
Untuk perkembangan terkini, ikuti @rifest.my di Instagram dan TikTok.
RIF 2025 – Di mana muzik, inspirasi dan emosi bersatu dalam satu pengalaman tak terlupakan.
0 Comments
Post a Comment