Institut Sultan Iskandar (ISI-UTM) dan Belati Wangsa Sdn. Bhd. telah menjalinkan kerjasama strategik bagi membangunkan teknologi Turapan Asfalt Terpulih (RAP) yang bersifat mampan dan berinovatif untuk digunakan dalam pembinaan serta penyelenggaraan jalan raya di Malaysia. Inisiatif ini memanfaatkan bahan buangan daripada permukaan jalan rosak untuk diolah semula sebagai turapan baharu, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada bahan mentah, penggunaan tenaga serta penghasilan sisa tanpa menjejaskan kualiti jalan.
Kerjasama ini muncul pada saat penting apabila negara berdepan kos penyelenggaraan jalan yang meningkat, mencecah RM4 bilion setahun sejak lima tahun lalu. Pengguna kini menuntut penyelesaian jalan raya yang bukan sahaja kukuh dan tahan lama, tetapi juga lebih mesra alam dan kos efektif. Maka, RAP dilihat sebagai satu alternatif yang bukan sahaja menjimatkan tetapi juga menyokong aspirasi kelestarian negara.
Menurut Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Dr Mohd Shafry bin Mohd Rahim, RAP telah menunjukkan potensi besar sebagai bahan turapan yang mampu menggantikan asfalt campuran panas asli (Hot Mix Asphalt, HMA) dengan kos yang jauh lebih rendah. Beliau menyifatkan perkembangan ini sebagai satu lonjakan penting dalam usaha penyelenggaraan jalan raya yang lebih lestari.
Pengarah Belati Wangsa, Encik Mohamad Akmal bin Johari pula menegaskan komitmen syarikatnya dalam menyokong pembangunan teknologi yang dapat mengurangkan penggunaan sumber asli dan keperluan pengangkutan bahan mentah. Tambahnya, penggunaan RAP secara meluas bukan sahaja dapat menjimatkan kos, malah membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menyokong usaha menuju industri pembinaan yang karbon neutral.
Ketua Projek dari pihak UTM, Profesor Madya Sr Dr Sarajul Fikri Mohamed, menjelaskan bahawa pendekatan ini turut memberi manfaat dari segi kos sepanjang hayat (Whole Life Cycle Costing, WLCC). Menurut beliau, RAP bukan hanya menjimatkan pada fasa pembinaan, malah turut memberikan kesan positif dari sudut ekonomi dan alam sekitar sepanjang kitaran hayat jalan — dari peringkat reka bentuk, pembinaan, operasi, penyelenggaraan, hinggalah kitar semula.
Projek ini melibatkan kepakaran penyelidik daripada Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) melalui Kumpulan Penyelidikan Ekonomi Pembinaan, Undang-Undang dan Polisi (CELP) serta Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) menerusi Kumpulan Penyelidikan Turapan & Pengangkutan (PTRG). Fokus utama mereka adalah ke arah pembangunan model kos kitaran hayat yang menyeluruh serta pemprosesan bahan buangan turapan sebagai sumber bahan baharu dalam kejuruteraan jalan raya.
Produk hasil kajian ini dijangka dipatenkan secara bersama oleh UTM dan Belati Wangsa, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kolaborasi akademik-industri yang memberi impak langsung terhadap pembangunan infrastruktur negara secara mampan dan bertanggungjawab.
0 Comments
Post a Comment