Tidak semua niat yang tersasar lahir tanpa harapan. Di sebalik kesilapan dan kekhilafan, kadang-kala terselit jalan menuju kebaikan. Inilah mesej menyentuh hati yang ingin disampaikan oleh pelakon dan pengarah berwibawa, Zahiril Adzim, menerusi telefilem terbaharunya berjudul "Pencuri Rumah Imam", yang bakal menemui penonton dalam slot Cerekarama TV3 pada malam Sabtu ini.

Menggabungkan elemen komedi ringan dan mesej rohani, telefilem ini membawa penonton menyelami kisah seorang pencuri yang tidak sengaja memasuki rumah seorang imam satu kejadian yang kelak mengubah arah hidupnya. Jalan cerita yang sarat dengan pengajaran ini dikembangkan dengan pendekatan bersahaja, namun tetap meninggalkan kesan mendalam terhadap makna taubat, peluang kedua, dan erti sebenar keinsafan.

"Pencuri Rumah Imam" merupakan karya arahan kedua Zahiril Adzim, dan menjadi penutup tirai kepada siri istimewa Dari Layar Ke Lensa, sebuah inisiatif TV3 bersempena sambutan ulang tahunnya yang ke-41. Siri ini menyaksikan empat bintang seni tanah air Siti Saleha, Fattah Amin, Janna Nick dan Zahiril Adzim diberi ruang dan peluang untuk duduk di kerusi pengarah, menghasilkan karya berdasarkan pengalaman peribadi dan sudut pandang mereka terhadap kehidupan.

Inisiatif Dari Layar Ke Lensa bukan sahaja mencetuskan dimensi baharu dalam kandungan hiburan tempatan, malah membuktikan keupayaan para pelakon kita untuk menceburi bidang pengarahan. Ia juga mencerminkan komitmen TV3 dalam memperkasa bakat kreatif tempatan, sekali gus memperkayakan naratif seni tanah air dengan sentuhan lebih peribadi dan jujur.

Zahiril, yang dikenali dengan pilihan watak yang mencabar emosi dan pemikiran, meneruskan legasi itu di sebalik tabir pula dengan membawa watak gelap ke layar dan membalutnya dengan harapan. “Setiap manusia ada kisahnya. Kita tidak tahu di mana titik perubahan mereka. Kadang-kadang, di rumah yang kita sangka tempat untuk mencuri, sebenarnya menjadi tempat kita ‘ditemui’,” kongsinya.

Penonton boleh menantikan telefilem ini pada Sabtu malam ini di TV3, dan menyaksikan bagaimana sebuah kisah jenayah ringan bertukar menjadi perjalanan spiritual yang mengubah hidup.

Kuala Lumpur, 23 Julai 2025  Dalam dunia yang penuh dengan kejahatan, masih adakah ruang untuk seseorang berubah? Pertanyaan ini menjadi tunjang utama dalam "Pencuri Rumah Imam", telefilem arahan Zahiril Adzim yang bakal menemui penonton menerusi slot Cerekarama TV3 pada Sabtu, 26 Julai, jam 10 malam.

Menggabungkan elemen komedi ringan, sindiran sosial dan mesej keinsafan, telefilem ini mengisahkan perjalanan Adli, lakonan Fikry Ibrahim, seorang pencuri yang melarikan diri daripada pihak berkuasa dan menyamar sebagai orang kaya di sebuah kampung terpencil. Dalam usahanya menyembunyikan identiti, Adli berjaya memperdayakan Tok Imam Saleh (Razak Ahmad), yang ketika itu sedang berdepan krisis kepercayaan sebagai pemimpin surau.

Adli kemudian memanfaatkan situasi Tok Imam dengan mendakwa dirinya ingin mendalami ilmu agama. Tok Imam yang melihat potensi perubahan dalam diri Adli membuka pintu bimbingan tanpa syak wasangka. Namun, tidak semua semudah itu. Khadijah (Shiqin Kamal), anak Tok Imam, mencurigai niat sebenar Adli, lalu mencetuskan konflik yang menegangkan hubungan di antara mereka bertiga.

Apakah identiti sebenar Adli akan terbongkar? Mampukah seorang penjenayah benar-benar berubah apabila diberi peluang dan bimbingan? Telefilem ini menggali persoalan-persoalan itu dengan cara yang menghiburkan namun tetap menyentuh jiwa.

"Pencuri Rumah Imam" turut mengetengahkan mesej kemanusiaan, kesedaran diri dan simbolik kehidupan, yang mencerminkan sisi gelap dan terang dalam diri manusia. Menurut Zahiril Adzim, walaupun naskhah ini dibangunkan sebagai komedi, tafsiran simbolik daripada penonton adalah satu bonus. “Kadang-kadang kita hanya mula ingat Tuhan bila rasa hidup ini hampir ke penghujung. Kalau ada penonton yang dapat mesej begitu, saya anggap itu rezeki dan mungkin juga ‘saham akhirat’ buat saya,” jelasnya.

Antara babak yang mencuri perhatian ialah apabila Adli bersembunyi dalam van jenazah, satu adegan yang secara tidak langsung menyentuh soal kematian dan perubahan hati manusia. Tambah Zahiril, telefilem ini juga menyindir pengaruh negatif materialisme, menyatakan bahawa “duit itu penting, tapi jangan sampai ia menghancurkan kemanusiaan kita.”

"Pencuri Rumah Imam" menampilkan barisan pelakon berpengalaman seperti Fikry Ibrahim, Shiqin Kamal dan Razak Ahmad. Ia juga menjadi penutup kepada projek istimewa Dari Layar Ke Lensa, sebuah inisiatif TV3 sempena ulang tahun ke-41, yang memberi peluang kepada empat pelakon popular untuk duduk di kerusi pengarah – termasuk Siti Saleha, Fattah Amin, Janna Nick dan Zahiril Adzim sendiri.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan naskhah yang membawa penonton dalam sebuah perjalanan insaf dan lucu, pada Sabtu ini, 26 Julai, jam 10 malam hanya di TV3.

Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, ikuti laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia serta Instagram rasmi @dramasangat.