Nama Insomniacks sekali lagi membuktikan aura mereka dalam industri muzik tempatan apabila tiket konsert jelajah Echoes of a Dream di Zepp Kuala Lumpur pada 12 Julai lalu habis terjual dalam masa yang singkat. Fenomena sama turut berulang di Capitol Theatre, Singapura pada 16 Ogos, apabila tiket laris hingga ke barisan terakhir.
Kejayaan konsert itu turut diserikan dengan sambutan luar biasa terhadap cenderahati rasmi, yang habis dijual di lokasi. Bagi memastikan peminat terus berpeluang memiliki barangan eksklusif, Insomniacks kini menawarkan koleksi rasmi mereka melalui platform dalam talian umusic.my.
Tidak berhenti di situ, kumpulan ini yang pernah menjulang kedudukan tertinggi dalam carta penstriman RIM pada tahun 2024, terus membuktikan bahawa kejayaan bukan alasan untuk berpuas hati. Sebaliknya, mereka menggunakan momentum itu sebagai pembakar semangat untuk mempersembahkan karya baharu yang lebih matang.
Single terbaharu berjudul Seperti Dulu diperkenalkan buat pertama kali kepada peminat di Singapura, sebelum dilancarkan secara rasmi pada 29 Ogos 2025. Menurut anggota kumpulan, lagu ini adalah “surat cinta” buat semua peminat yang sentiasa berdiri teguh bersama mereka sejak awal perjalanan muzik.
Dari segi kreatif, lirik Seperti Dulu ditulis oleh anggota kumpulan sendiri, dengan komposisi oleh Iqie dan sentuhan susunan muzik daripada Taja. Lagu ini turut menyelitkan elemen nostalgia yang mengimbau kembali era awal pembabitan Insomniacks, menjadikan ia sebuah karya yang dekat di hati.
Selepas pelancaran rasmi, Insomniacks akan membawa semangat muzik mereka ke pentas antarabangsa dengan siri promosi ke Jakarta pada penghujung September, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai kumpulan pop rock yang terus relevan merentas sempadan.
0 Comments
Post a Comment