jika anda mencari pengalaman sinematik yang mendalam dan menyentuh hati, karya-karya Yandy Laurens adalah pilihan tepat. Sebagai pengarah dan penulis skrip, Yandy telah menghasilkan beberapa filem yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga meninggalkan kesan mendalam kepada penonton. Kini, beliau kembali dengan filem terbaharu, Sore: Istri Dari Masa Depan, yang bakal ditayangkan di Malaysia pada 25 September 2025, selepas mencuri perhatian di pawagam Indonesia.
Salah satu karya ikonik Yandy ialah Keluarga Cemara (2018), adaptasi daripada siri televisyen popular Indonesia. Filem ini mengisahkan sebuah keluarga yang kehilangan segala harta mereka dan terpaksa memulakan hidup baru di desa. Dengan sentuhan Yandy, cerita ini berjaya menonjolkan nilai kekeluargaan, kasih sayang, dan solidariti. Filem ini mendapat sambutan hangat dengan lebih daripada 1.7 juta penonton, memenangi beberapa anugerah termasuk Piala Citra dan Piala Maya, dan kini boleh ditonton melalui platform penstriman seperti Netflix.
Seterusnya, Falling in Love Like in Movies (2023) membawa penonton menyelami kisah seorang penulis skrip filem romantik yang bertemu semula dengan cinta lamanya dan berusaha meyakinkannya untuk jatuh cinta seperti dalam filem. Filem ini meraih tujuh anugerah Citra termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, dan Skrip Asal Terbaik, sekali lagi membuktikan kepakaran Yandy dalam menyampaikan kisah yang menyentuh hati.
Tidak ketinggalan, 1 Kakak 7 Ponakan (2025) mengangkat tema “sandwich generation” yang jarang diangkat dalam filem, menceritakan seorang lelaki muda yang terpaksa menjaga tujuh anak saudaranya selepas kehilangan kakak dan iparnya. Filem ini bukan sahaja memaparkan cabaran membesarkan keluarga sambil mengekalkan kerjaya, malah mendapat penghormatan sebagai penutup Festival Filem Jogja-NETPAC 2024.
Filem terbaru Yandy, Sore: Istri Dari Masa Depan (2025), menggabungkan elemen sains fiksyen dan romantik. Ceritanya mengikuti seorang lelaki muda di Croatia yang bertemu seorang wanita mengaku sebagai isterinya dari masa depan, membantu beliau menilai semula gaya hidup dan pandangan hidupnya. Filem ini telah mendapat perhatian besar di pawagam Indonesia dan kini bakal menemui penonton Malaysia mulai 25 September 2025.
Sebagai pengedar rasmi, Primeworks Studios dengan bangganya membawa naskhah fenomena dari Indonesia ini ke Malaysia. Peminat digalakkan untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan Sore: Istri Dari Masa Depan di pawagam seluruh negara. Untuk berita terkini dan kandungan eksklusif, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, Twitter, dan YouTube.
0 Comments
Post a Comment