Astro, selaku peneraju kandungan dan hiburan negara, terus komited mencungkil serta mengangkat bakat tempatan menerusi penganjuran musim terbaharu program realiti nyanyian ikonik, Kilauan Emas 2025. Program ini bakal membuka tirai pada 16 Ogos 2025, bersiaran setiap Sabtu jam 9 malam di Astro Prima (Saluran 105), serta turut boleh distrim secara fleksibel menerusi platform Astro GO, On Demand dan aplikasi sooka.

Menampilkan pendekatan yang lebih segar dan inklusif, musim kali ini memperkenalkan beberapa pembaharuan strategik termasuk penurunan had umur penyertaan kepada 43 tahun. Langkah ini membuka lebih banyak ruang kepada generasi otai untuk kembali menyerlah di pentas seni suara. Format produksi juga diperbaharui dengan penglibatan juri awam yang terdiri daripada wartawan dan pelanggan setia Astro, selain pendekatan penceritaan beremosi yang memberi lebih nilai kepada pengalaman peserta dan penonton.

Sesi uji bakat yang telah berlangsung di Miri, Johor dan Shah Alam pada bulan Mei dan Jun lalu menyaksikan penyertaan yang amat memberangsangkan daripada lebih 500 individu pelbagai latar belakang. Para peserta bukan sahaja mempamerkan kebolehan vokal, malah turut menyerlah dalam seni persembahan lain seperti lakonan dan tarian, sekaligus mencerminkan kepelbagaian bakat serta keunikan yang diketengahkan musim ini.

Menurut Idlan Zahari, Pengurus Saluran Astro Prima, penambahbaikan dari segi kriteria penyertaan dan format produksi pada musim ini membuktikan komitmen Astro dalam terus memperkasakan seni tempatan. Beliau berkata bahawa Kilauan Emas bukan sekadar sebuah program hiburan, sebaliknya menjadi medium untuk menyatukan rakyat Malaysia melalui muzik, budaya dan aspirasi yang dikongsi bersama. Idlan turut menambah bahawa penyertaan peserta yang datang daripada latar belakang seni keluarga membuktikan minat serta semangat dalam dunia seni tidak pernah luntur, malah diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain. Setiap peserta membawa kisah hidup yang tersendiri dan platform ini menjadi ruang untuk mereka membina keyakinan dan mengejar impian.

Musim ini menyaksikan 12 peserta solo berumur antara 43 hingga 65 tahun yang telah terpilih untuk berentap merebut gelaran juara. Mereka ialah Zanie, Shah, Nurul, Kinar, Mazleen, Majid, Leeza, Ben, Ezan, Zekrai, Nawary dan Vijay. Masing-masing membawa keunikan, kekuatan vokal serta pengalaman hidup tersendiri yang dijangka mencuri hati penonton.

Kilauan Emas 2025 turut menampilkan barisan pengacara dan juri popular tanah air. Program ini dikendalikan oleh Elly Mazlein selaku hos utama, bersama Joey Daud yang bertindak sebagai pengacara belakang pentas dan hos rancangan Diari Kilauan Emas. Barisan juri pula terdiri daripada primadona Malaysia, Erra Fazira sebagai juri tetap, digandingkan dengan pelawak terkenal Roy Azman dan penyanyi bersuara emas, Ning Baizura. Turut diperkenalkan ialah Zarul Husin sebagai hos untuk segmen Spotlight yang akan bersiaran selepas konsert, serta Keanu Azman dan Sarah Karmila yang mengendalikan segmen Live+.

Dari segi pemarkahan, seperti musim sebelumnya, 70% markah peserta akan ditentukan oleh juri profesional, 20% oleh juri awam terdiri daripada penonton undangan, dan 10% lagi melalui undian peminat secara dalam talian menerusi laman web Astro Gempak. Juara Kilauan Emas 2025 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM30,000 berserta trofi eksklusif sumbangan Astro. Program ini turut disokong oleh Astro Gempak sebagai rakan digital rasmi serta stesen radio SINAR dan GEGAR sebagai rakan radio rasmi.

Bagi memberi liputan menyeluruh, Konsert Kilauan Emas 2025 akan bersiaran selama lapan minggu bermula 16 Ogos 2025, setiap Sabtu jam 9 malam secara langsung dari Royal Theatre Shah Alam. Diari Kilauan Emas 2025 pula akan mula ditayangkan pada 11 Ogos, setiap Isnin hingga Jumaat jam 11.30 malam, memaparkan persediaan para peserta termasuk latihan vokal dan koreografi. Sementara itu, Kapsul Profil Peserta Kilauan Emas 2025 yang memaparkan kisah latar belakang peserta seperti Ezan, Zekrai, Nurul, Nawary, Shah dan Kinar, akan disiarkan setiap Selasa hingga Jumaat, jam 3 petang mulai 5 Ogos.

Dengan pembaharuan menyeluruh dan semangat yang membara daripada peserta, Kilauan Emas 2025 dijangka terus menjadi program realiti kegemaran ramai yang meraikan bakat dan pengalaman golongan otai yang tidak pernah luntur semangatnya.