Industri hiburan tanah air melakar satu lagi sejarah baharu dengan pelancaran platform penstriman digital eksklusif (OTT) yang diberi nama UTV, hadir dengan tagline “Stream For You”.
Platform ini diperkenalkan oleh Usanita Sdn Bhd sebagai sebuah medium hiburan yang bukan sahaja menawarkan pelbagai kandungan menarik, tetapi juga membuka ruang besar kepada bakat kreatif tempatan untuk menonjolkan karya mereka di pentas lebih luas. Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Prof. Dato’ Sri Dr. Hasan (Datuk Nana) berkata, UTV lahir daripada pengalaman panjang Usanita bekerjasama rapat dengan industri seni tempatan dan stesen televisyen antarabangsa. Menurut beliau, setiap karya seni yang dihasilkan bukan hanya sekadar hiburan, sebaliknya merupakan legasi yang mencerminkan budaya serta tamadun bangsa.
“Industri seni adalah nadi masyarakat. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi warisan yang mengangkat identiti dan kisah hidup kita. Dari inspirasi itu, kami lahirkan UTV sebagai platform yang bukan hanya menyiarkan karya, tetapi juga memberi ruang kepada idea baharu untuk direalisasikan. Saya percaya masih ramai penulis skrip, penerbit dan kreator yang menyimpan jalan cerita hebat tetapi belum ada peluang. UTV hadir untuk membuka pintu itu,” katanya.
Menariknya, UTV memilih untuk menggunakan model Pay Per Content, iaitu kaedah yang membolehkan penonton memilih sendiri kandungan yang ingin ditonton tanpa perlu melanggan keseluruhan pakej. Pendekatan ini bukan sahaja memberi kebebasan kepada pengguna, malah menambah nilai eksklusif pada setiap karya yang dipersembahkan.
Lebih daripada itu, UTV tampil berbeza kerana membuka peluang pitching kepada semua pihak. Sama ada daripada syarikat produksi besar, penerbit indie mahupun penulis skrip baharu, pintu UTV sentiasa terbuka luas untuk menerima idea segar. Datuk Nana menegaskan bahawa pihaknya mahu mencungkil bakat baharu yang mungkin selama ini tidak mempunyai ruang untuk menonjol. Beliau percaya masih banyak sinopsis dan skrip berpotensi besar yang hanya tersimpan di laci kerana ketiadaan platform untuk direalisasikan, dan kini UTV hadir sebagai jawapan kepada cabaran itu.
Sebagai permulaan, UTV menampilkan lima segmen utama yang dirangka untuk memenuhi citarasa pelbagai lapisan penonton. Antaranya ialah drama dan telefilem eksklusif di bawah jenama UTV Original seperti Saling Tak Terlihat, Langit Tanpa Bintang, Diari Air Mata, Poskad Cinta Dari Auckland, Anak Mak, Aku Cinta Dia dan Hantu Cinta Kamu. Selain itu, UTV turut menayangkan persembahan muzik eksklusif menerusi UTV Music termasuk Showcase Janji oleh Dayang Nurfaizah dan A Night With Aina Abdul 3.0. Tidak ketinggalan, UTV Podcast bakal menyajikan perbincangan segar melalui program seperti Hitam Putih dan Ruang Usanita, manakala segmen UTV Talkshow pula hadir dengan bual bicara santai tetapi sarat nilai seperti Unwrapped: Kisah Disebalik Spotlight serta Cook With Sheila Rusly. UTV turut memperkenalkan segmen UTV Smart yang menggabungkan elemen hiburan dan pendidikan, antaranya Bootcamp Usanita serta Online Business Game 101 with Zoey Rahman.
Orang ramai yang berminat untuk menghantar idea atau sinopsis karya boleh berbuat demikian melalui e-mel support@utv.com.my atau dengan menghubungi media sosial rasmi UTV di Instagram @utv.official dan TikTok @utvoriginal. Dengan pendekatan inklusif ini, UTV diyakini bakal menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih banyak karya asli Malaysia yang bukan sahaja segar dan kreatif, tetapi juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
0 Comments
Post a Comment