Bintang baharu di bawah naungan Alternate Records & Talents, Zahra, yang sebelum ini dinobatkan sebagai juara pertandingan nyanyian digital XTRA XSTAR, kini hadir dengan single sulung berjudul Janjiku Padamu. Lagu ini menampilkan kerjasama tiga nama besar Amsyar Sabri, Emeer Bakri dan Anwar Amzah selaku komposer dan penulis lirik.

Berteraskan genre pop modern ballad, Janjiku Padamu menggabungkan elemen balada moden dengan nuansa klasik yang penuh emosi. Liriknya membawa kisah cinta pasangan yang berpisah, namun tetap berhasrat untuk kembali bersama dengan janji yang lebih tulus.

Bagi Zahra, pengalaman merakamkan single pertamanya ini cukup bermakna. “Ini ‘baby’ pertama saya, sebelum ini saya hanya menyanyi lagu cover. Jadi saya perlu faham setiap aspek lagu daripada lirik, melodi hingga arrangement,” ujarnya. Proses rakaman dijalankan dalam dua sesi selama 4 hingga 5 jam, dan Zahra turut memuji komposer yang disifatkan sangat berbakat serta mudah bekerjasama.

Beliau menambah, lagu ini pasti dekat di hati pendengar yang gemar dengan lagu galau beremosi. “Kalau anda pernah putus cinta tapi masih ingin kembali, Janjiku Padamu memang untuk anda,” katanya.

Perjalanan Zahra dalam dunia seni bermula sejak di bangku sekolah sebelum mengasah bakat melalui busking, persembahan korporat, majlis perkahwinan, kafe dan hotel. Kemenangan dalam pertandingan XTRA XSTAR membuka peluang besar untuknya bergelar penyanyi rakaman profesional.

Menurut Amsyar Sabri, lagu ini diinspirasikan daripada pengalaman cinta sebenar yang diterjemahkan ke dalam karya. “Walaupun nampak straightforward, mesejnya cukup mendalam hargailah emosi dan pasangan selagi masih bersama,” jelasnya. Dari segi susunan muzik, Janjiku Padamu menggabungkan elemen modern ballad dan classic ballad, menjadikan keseluruhan produksi lebih segar dan unik.

Selain gaya nyanyian yang penuh jiwa, Zahra turut menonjol dengan kekuatan vokalnya. Beliau mampu mengawal nada tinggi dengan baik serta memberi harmoni yang indah pada vokal utama kekuatan yang jarang dimiliki penyanyi baharu sepertinya.

Kini, Janjiku Padamu boleh didengarkan di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music dan banyak lagi. Lagu ini diyakini mampu menjadi teman istimewa buat mereka yang sedang melalui fasa kehilangan atau merindui cinta lama.

Untuk maklumat lanjut mengenai Zahra dan projek terbaharu Alternate Records & Talents, ikuti mereka di Facebook, Instagram (@alternate.my_) serta TikTok (@alternate.rt_).