Penyanyi bersuara emas yang kian menyerlah di pentas seni tanah air, Nadeera, terus mencipta sejarah baharu apabila diumumkan sebagai wakil Malaysia ke ABU Song Festival 2025. Pemilihan ini dibuat oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai pengiktirafan terhadap bakat besar yang dimiliki artis di bawah naungan Rocketfuel Entertainment itu. Festival berprestij ini bakal berlangsung pada 13 September 2025 di Tsonjin Boldog, Mongolia dan menghimpunkan artis-artis ternama dari seluruh rantau Asia Pasifik.
Di acara tersebut, Nadeera bakal mempersembahkan lagu hitnya “Bukan Lagi Kita” yang bukan sahaja melonjakkan namanya dalam industri muzik tempatan, tetapi juga membuka ruang untuk memperkenalkan karya seni Malaysia ke mata dunia. Menurut Nadeera, peluang ini amat bermakna kerana setiap bait lirik dan nota yang dinyanyikan akan dibawakan dengan sepenuh jiwa sebagai tanda kasih dan penghargaan buat peminat di tanah air. Katanya, beliau sedar bahawa dirinya kini bukan sekadar seorang penyanyi, tetapi juga duta seni yang membawa harapan dan doa seluruh rakyat Malaysia.
Walaupun ini bukan kali pertama Nadeera menjejakkan kaki ke pentas antarabangsa, pengalaman menyanyi di Vietnam dan Indonesia sebelum ini tidak sama nilainya dengan peluang menyertai ABU Song Festival. Beliau menyifatkan kesempatan ini sebagai momen istimewa kerana berpeluang berdiri sebaris dengan artis-artis hebat Asia di sebuah festival muzik berprestij. Nadeera turut merakamkan penghargaan kepada RTM atas keyakinan, Rocketfuel Entertainment atas sokongan padu, serta pasukan produksi dan peminat yang sentiasa menjadi nadi kekuatannya.
Pihak pengurusan Rocketfuel Entertainment turut melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian anak seni ini. Mereka percaya bahawa pemilihan Nadeera membuktikan keunggulan bakat dan komitmen yang dimiliki, sekali gus diyakini mampu mengangkat nama Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi di pentas antarabangsa.
ABU Song Festival sendiri merupakan acara gala tahunan yang dianjurkan oleh Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU). Tidak seperti pertandingan muzik, festival ini meraikan kepelbagaian muzik serantau dengan menampilkan persembahan lagu dan instrumental daripada artis-artis terpilih di Asia Pasifik. Acara tersebut turut disiarkan ke seluruh negara anggota ABU dengan penambahan sari kata mengikut bahasa tempatan, menjadikannya salah satu platform paling berpengaruh untuk memperkenalkan bakat dan karya seni kepada khalayak global.
0 Comments
Post a Comment