Fenomena Gerhana Bulan Penuh atau lebih dikenali sebagai Blood Moon yang berlaku baru-baru ini seakan menjadi isyarat kepada kemunculan filem seram terbaharu berjudul “Qifarah” yang bakal menghantui pawagam seluruh negara bermula 9 Oktober ini. Fenomena Blood Moon yang menjadikan bulan kelihatan kemerahan akibat pembiasan cahaya matahari oleh atmosfera bumi bukan sahaja mencuri perhatian peminat astronomi, malah turut dikaitkan dengan pelbagai simbolisme mistik dalam budaya dan kepercayaan di seluruh dunia.

Dalam banyak tradisi, Blood Moon sering dianggap sebagai masa paling kuat untuk ritual ghaib, upacara memanggil entiti, mahupun ilmu hitam. Unsur inilah yang diangkat dalam “Qifarah” sehingga menjadikan fenomena alam itu selari dengan jalan ceritanya. Filem terbitan Skop Productions dengan kerjasama MyWay Pictures serta Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi ini tampil bukan sekadar sebagai filem seram tipikal, sebaliknya menyorot isu balasan terhadap perbuatan syirik dan penyimpangan daripada kebenaran.

“Qifarah” mengisahkan seorang lelaki yang terjerat dalam legasi keluarganya yang sejak kecil mengamalkan ilmu hitam. Terperangkap dalam sumpahan warisan yang mengikat hidupnya, dia berdepan dilema sama ada mampu membebaskan diri daripada kegelapan atau akhirnya menjadi korban seterusnya dalam rantaian hitam yang tiada penghujung. Dengan naratif yang sarat elemen mistik, filem ini turut mengetengahkan mesej moral tentang akibat menyimpang dari jalan Tuhan serta balasan yang menanti bagi setiap dosa.

Menggabungkan sinematografi suram, efek visual menyeramkan dan atmosfera penuh misteri, “Qifarah” dijangka meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja dari segi hiburan, tetapi juga kesedaran kepada penonton. Diterajui oleh barisan pelakon berbakat besar seperti Remy Ishak, Sharifah Sakinah dan Liyana Jasmay, filem ini diyakini mampu mencetuskan fenomena baharu dalam genre seram tempatan.

Treler rasmi “Qifarah” akan dilancarkan tidak lama lagi dan dijangka menguatkan lagi keterujaan penonton menjelang tayangan penuhnya pada 9 Oktober ini. Untuk mengikuti perkembangan terkini serta kandungan eksklusif filem ini, orang ramai boleh mengikuti saluran rasmi Primeworks Studios di Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube.