Selepas meraih lebih daripada 3 juta penonton di pawagam Indonesia, filem drama romantik fantasi Sore: Istri dari Masa Depan kini meneruskan langkah gemilangnya dengan dipilih sebagai wakil rasmi Indonesia ke Anugerah Academy (Oscar) ke-98. Filem arahan Yandy Laurens ini akan bersaing dalam kategori Best International Feature Film, mewakili harapan baharu perfilman tanah air di pentas dunia.
Keputusan ini diumumkan oleh Komite Seleksi Oscar Indonesia (The Indonesian Oscar Selection Committee) setelah mengadakan rapat pleno pada 8 September 2025. Komite tersebut dibentuk setiap tahun oleh Persatuan Perusahaan Filem Indonesia (PPFI) dan telah diiktiraf secara rasmi oleh pihak Academy Awards sebagai badan yang berwenang memilih satu karya terbaik dari Indonesia untuk bertanding di kategori filem antarabangsa.
Produser Sore: Istri dari Masa Depan, Suryana Paramita, meluahkan rasa syukur atas kepercayaan besar yang diberikan kepada filem ini. Beliau berharap agar masyarakat serta pihak-pihak terkait dapat terus memberi sokongan penuh demi kelancaran perjalanan filem tersebut di Oscar. Sutradara merangkap penulis skrip, Yandy Laurens, turut menyampaikan penghargaan kepada Komite Seleksi Oscar Indonesia yang telah memilih karyanya. Menurutnya, penghormatan ini menjadi sebuah pencapaian yang amat berharga bagi perjalanan kreatifnya.
Filem ini dibintangi oleh Sheila Dara, Dion Wiyoko, Goran Bogdan, Lara Nekic, Livio Badurina, Maya Hasan, dan Mathias Muchus. Kolaborasi produksi antara Indonesia dan Kroasia ini bukan sahaja menampilkan gabungan tenaga kreatif dari dua negara, tetapi juga membuka ruang baharu bagi kerjasama antarabangsa dalam industri filem. Sore: Istri dari Masa Depan merupakan filem panjang keempat arahan Yandy Laurens, sekaligus menjadi karya paling berjaya dalam kariernya setakat ini.
Selepas kejayaan di Indonesia, filem ini dijadualkan untuk tayangan di rangkaian pawagam Malaysia mulai 25 September 2025. Dari segi produksi, filem ini digerakkan oleh Cerita Films dengan sokongan pelbagai pihak termasuk Melyana Tjahyadikarta, Queen Yeap, Slingshot Pictures, Imajinari, Miles Films, Studio Artemis, Jagartha, Trinity Entertainment Network, dan Dwidaya Amadeo Gemintang sebagai produser eksekutif serta rakan kolaborasi. Ia turut mendapat dukungan daripada jenama rasmi seperti Artotel Wanderlust, SukkhaCitta, dan HMNS.
Dengan pencapaian ini, Sore: Istri dari Masa Depan bukan sahaja menandai satu lagi langkah penting dalam sejarah perfilman Indonesia, tetapi juga memperkukuhkan keyakinan bahawa karya tempatan mampu bersaing di pentas global. Perkembangan terkini mengenai filem ini boleh diikuti melalui laman Instagram rasmi @cerita_films.
0 Comments
Post a Comment