Kisah cinta yang bermula tanpa dirancang hadir mengisi slot Akasia dengan drama terbaharu bertajuk Hospital Loveline. Naskhah romantik komedi arahan Ng Ken Kin terbitan Orangetree Production Sdn Bhd ini bakal menemui penonton selama 13 episod bermula 4 September 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di TV3, serta turut distrim lebih awal di Tonton.
Menggabungkan elemen cinta, komedi, dan emosi menyentuh hati, Hospital Loveline mengetengahkan gandingan Scha Elinnea sebagai Sophia, seorang gadis ceria yang bekerja sebagai ahli fisioterapi, bersama Syarul Ezani yang memegang watak Dr. Arfan, seorang doktor muda kacak, tegas, dan penuh disiplin. Pertemuan mereka yang pada mulanya biasa-biasa berubah menjadi detik penting apabila satu insiden cemas mempertemukan hati mereka.
Drama ini turut diperkuatkan dengan kehadiran pelakon berbakat seperti Sean Lee, Jaja Iliyes, Hanna Aqeela, Kismah Johar, Dato’ Jalaluddin Hassan dan Apich Lo, menjadikan karya ini lebih segar serta dekat dengan jiwa penonton. Jalan cerita bukan sekadar menonjolkan percintaan antara dua insan berbeza personaliti, tetapi juga merangkumi konflik keluarga, tekanan dunia perubatan, serta dilema profesional yang menambah lapisan emosi kepada keseluruhan kisah.
Sophia yang setia menjaga neneknya, Opah Tijah (lakonan Kismah Johar), sering memandang hidup dengan ceria tanpa mempedulikan aura Dr. Arfan yang digilai ramai. Namun, takdir mula mengubah segala-galanya apabila Opah tiba-tiba jatuh sakit dan dirawat di hospital tempat Sophia bekerja. Situasi itu membawa Dr. Arfan semakin dekat dalam kehidupan Sophia, dan bermulalah momen-momen lucu serta menyentuh hati apabila Opah berusaha menyatukan mereka berdua.
Lebih menarik, konflik dalaman hospital turut mencetuskan drama apabila Dr. Farhad (Dato’ Jalaluddin Hassan), pengarah hospital dan ayah Dr. Arfan, ditekan oleh adiknya, Dr. Malik (Zarul Umbrella), yang mempertikaikan kemampuannya menguruskan masalah pentadbiran. Pertembungan profesional ini bukan sahaja mencabar kedudukan hospital, malah menguji kekuatan hubungan antara watak utama.
Menurut Scha Elinnea, watak Sophia sangat istimewa kerana sifatnya yang riang dan penuh kasih sayang tetapi dalam masa sama diuji dengan cabaran peribadi serta dunia perubatan yang mencabar. Beliau percaya drama ini mampu mencuit hati penonton dengan gabungan gelagat humor, konflik kekeluargaan, dan mesej tentang erti cinta serta pengorbanan.
Dengan plot yang penuh warna, kehadiran watak yang segar serta pengisian emosi yang dekat di hati, Hospital Loveline dijangka menjadi pilihan utama penonton setia drama romantik komedi tanah air. Ia bukan hanya sekadar kisah cinta di hospital, tetapi juga perjalanan tentang bagaimana pertemuan tanpa diduga mampu membuka pintu hati dan merubah takdir.
0 Comments
Post a Comment