Selepas meniti lebih daripada sedekad perjalanan penuh warna-warni dalam dunia seni, penyanyi berbakat besar, Kael, kembali menyapa peminat dengan hadiah istimewa pelancaran muzik video rasmi untuk single terbaharunya berjudul “Angkasa.”
Lebih daripada sekadar single keempat bersama Alternate Records, “Angkasa” membawa makna mendalam buat Kael kerana ia merupakan karya paling jujur dan peribadi sepanjang kariernya. Buat pertama kali, Kael terlibat sepenuhnya dalam setiap proses kreatif, daripada penghasilan muzik hingga visual, menjadikan projek ini sangat istimewa.
Terinspirasi daripada emosi serta pengalaman hidupnya, “Angkasa” tampil sebagai sebuah balada pop moden yang sarat dengan mesej harapan dan kekuatan. “Lagu ini mencerminkan kematangan saya sebagai seorang artis. Ia lahir daripada perjalanan hidup saya sendiri, dan kali ini saya benar-benar bersedia untuk berkongsi kisah ini dengan dunia. Saya mahu pendengar yang pernah melalui cabaran hidup menemui diri mereka di dalamnya,” ujar Kael. Dengan kos keseluruhan projek mencecah RM500,000, “Angkasa” jelas menjadi nadi utama dalam perjalanan seninya.
Muzik video “Angkasa” pula berkonsepkan “Diamond in the Sky & Masquerade” simbol permata melambangkan cinta sejati dan abadi, manakala topeng menggambarkan sisi diri yang tersembunyi. Gabungan simbolik ini membawa makna bahawa meskipun ada sisi hidup yang terpendam, cinta sejati tetap bersinar sebagai cahaya paling terang.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur pada Jumaat lalu menyaksikan suasana meriah dengan kehadiran rakan media, tetamu jemputan serta peminat setia. Kael turut mempersembahkan “Angkasa” secara langsung sebelum menayangkan muzik video tersebut, sekali gus menerima tepukan gemuruh daripada semua yang hadir.
Peminat kini boleh menonton muzik video “Angkasa” di YouTube, serta menikmati lagu ini di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. Untuk perkembangan terkini mengenai Alternate Records & Talents, ikuti media sosial rasmi mereka di Facebook, Instagram @alternate.my_, dan TikTok @alternate.rt_.
0 Comments
Post a Comment