Warga Bumi Kenyalang sememangnya luar biasa apabila Karnival Jom Heboh (KJH) Segulai Sejalai Sarawak menutup tirainya dengan penuh gemilang selepas tiga hari berlangsung di Dataran Perayaan Petra Jaya dari 5 hingga 7 September 2025. Kehadiran ratusan ribu pengunjung sepanjang penganjuran membuktikan bahawa KJH kekal relevan sebagai karnival pilihan keluarga di Malaysia.
Lebih daripada sekadar sebuah karnival, KJH Sarawak berjaya menjadi ruang pertemuan masyarakat merentasi budaya, generasi, etnik dan kaum. Suasana penuh warna-warni yang tercipta sepanjang acara ini diperkaya dengan pelbagai aktiviti interaktif, pameran unik serta hiburan mesra keluarga, sekali gus menjadikannya pengalaman yang menyeronokkan dan berinformasi buat semua lapisan masyarakat.
Karnival ini turut menjalin kerjasama strategik bersama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), yang diserikan lagi dengan kehadiran YB Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah selaku Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, diiringi Datuk Mohd Efendi Omar, Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia pada hari pertama penganjuran. Kehadiran pelbagai agensi di bawah MTCP seperti Jabatan Muzium, Lembaga Pelancongan Sarawak, Majlis Seni Sarawak, BeSarawak, Majlis Kraf Sarawak serta Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak turut melengkapkan pengalaman karnival dengan mengetengahkan keunikan destinasi, tarikan pelancongan dan kekayaan budaya setempat.
Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul 1447H, pentas utama karnival turut dihidupkan dengan program keagamaan “Sembang Santai” yang membincangkan keperibadian Rasulullah SAW sebagai teladan ummah. Sesi tersebut dikendalikan oleh Ts. Syahrul Nizam Junaini, Pensyarah UNIMAS bersama panel jemputan termasuk Ustaz Haji Mual Haji Suaud, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak.
Sepanjang tiga hari berlangsung, lebih 100 reruai dibuka untuk pengunjung dengan tawaran pelbagai aktiviti yang merangkumi hiburan, gaya hidup, kesihatan dan sukan. Antara tarikan utama ialah aktiviti zumba, bola sepak jalanan, NSTP Car Sim Experience, Spin Fighters Challenge, Pencarian Emcee Cilik, sukan memanah, pemeriksaan kesihatan gigi dan saringan kanser serviks secara percuma. Gabungan pelbagai aktiviti ini menjadikan KJH Sarawak sebuah destinasi lengkap untuk seisi keluarga.
Karnival ini turut memberi impak ekonomi yang besar dengan nilai melebihi RM15 juta dalam tempoh tiga hari penganjuran. Ratusan ribu pengunjung bukan sahaja menikmati hiburan dan aktiviti, malah berpeluang mendapatkan pelbagai tawaran eksklusif, hadiah menarik serta produk edisi terhad daripada pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa termasuk F&N, Kewpie, Affin Bank, Szindore Perfume, SUPER dan Zus Coffee.
Studio Tonton Drama Sangat menjadi antara lokasi yang paling mendapat perhatian apabila peminat berpeluang beramah mesra bersama personaliti Media Prima seperti Mior Abdul Malik, Naz Habibur Rahman, Farah Nabilah Wazer, Fatin Hamimah, Asri Badrun, Fadzly Fuad, Barr Zaizan dan Syamira Nazir. Kemunculan barisan pelakon drama popular termasuk Wanie Ooi, Mark Adam, Ezzanie Jasny, Apich Lo dan Jazmy Juma serta penampilan maskot terkenal Ejen Ali dan Ejen Alicia menambah kemeriahan suasana.
Pertandingan Ratu Etnik Drama Sangat turut mencuri perhatian apabila Axiomara Tijan Andy, 19 tahun, dinobatkan sebagai juara sekali gus membawa pulang hadiah utama RM1,000. Naib juara dimenangi oleh Puteri Maishara Binti Mohsen, 20 tahun, dengan hadiah bernilai RM700 manakala tempat ketiga disandang Falesyia Anak Harry, 19 tahun, yang menerima RM500.
Malam karnival bertambah meriah dengan Konsert Jom Heboh yang dibawakan oleh U Mobile selama dua malam berturut-turut. Pada 6 September 2025, pentas bergema dengan persembahan hebat daripada Lan Solo, Marsha Milan, Ara Johari, Haiza dan Datuk Aishah, manakala pada 7 September 2025 pula pengunjung disajikan dengan persembahan memukau daripada Floor 88, Wany Hasrita, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini dan Amir Jahari. Walaupun hujan turun pada malam pertama, semangat penonton tidak luntur malah ramai yang sanggup menunggu sejak jam 4 petang keesokannya demi mendapatkan tempat terbaik untuk menyaksikan artis kesayangan mereka beraksi.
Kemeriahan KJH Sarawak kali ini menandakan kejayaan besar penganjur dalam mengangkat karnival sebagai wadah hiburan, pendidikan, budaya dan ekonomi untuk masyarakat setempat serta pengunjung dari luar. Karnival Jom Heboh seterusnya bakal mendarat di utara tanah air bagi menyemarakkan keseronokan bersama warga Pulau Pinang. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman rasmi www.jomheboh.com.my atau mengikuti @jomhebohofficial di Facebook dan Instagram, serta berkongsi detik menyeronokkan sepanjang karnival dengan tanda pagar rasmi Jom Heboh.
0 Comments
Post a Comment