Peminat muzik K-rap di Malaysia bakal disajikan dengan satu pengalaman yang tidak boleh dilepaskan apabila penyanyi rap terkenal Korea Selatan, Loco, mengumumkan konsert solo pertamanya di Kuala Lumpur. Konsert yang diberi nama 2025 LOCO CONCERT: SCRAPS TOUR in KUALA LUMPUR ini akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 2 November 2025 (Ahad), jam 7 malam. Dibawakan khas oleh Starry Live Entertainment dan The WonderLand+, konsert ini dijangka menjadi antara acara muzik paling hangat tahun ini.

Jelajah Scraps Tour ini diadakan bersempena dengan pelancaran album studio ketiga Loco yang juga merupakan album pertamanya di bawah label Locomotive. Album berjudul Scraps tersebut memuatkan 12 buah lagu dengan gaya penceritaan unik serta menampilkan kolaborasi menarik bersama artis antarabangsa seperti Jordan Ward, 1MILL dan Feby Putri. Selain Kuala Lumpur, Loco juga akan membawa siri jelajah ini ke beberapa bandar utama Asia termasuk Taipei, Bangkok, Singapura dan Hong Kong.

Sejak memenangi rancangan realiti rap popular Korea Selatan, Show Me the Money pada tahun 2012, Loco terus mencuri perhatian peminat dengan karya-karya hebatnya. Antara lagu popularnya termasuk “No More”, “You Too” dan “Don’t Give It to Me”. Dengan kerjasama bersama nama-nama besar seperti Hwasa, Crush dan Gray, reputasi Loco dalam dunia hip-hop Korea semakin kukuh, menjadikannya antara ikon K-rap paling disegani.

Persembahan Loco sering digambarkan sebagai penuh energi dan intim, memukau peminat dengan karisma serta penguasaan pentas yang mengagumkan. Konsert ini bukan sahaja menjanjikan barisan lagu yang bertenaga, malah turut menampilkan momen interaksi istimewa antara Loco dan penonton, sekali gus mencipta kenangan manis buat para peminat.

Tiket untuk konsert ini akan mula dijual pada 5 September 2025, jam 11 pagi menerusi laman rasmi my.bookmyshow.com. Harga tiket bermula dari RM348 hingga RM5,500 dengan pelbagai keistimewaan peminat seperti sesi raptai, kad cenderahati, poster bertandatangan, sesi ucap selamat tinggal, serta peluang bergambar berkumpulan bersama Loco. Dengan kehadiran istimewa dan pementasan berskala besar ini, 2025 LOCO CONCERT: SCRAPS TOUR in KUALA LUMPUR dijangka mencetuskan fenomena luar biasa dalam kalangan penggemar K-rap tanah air.

Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, peminat boleh mengikuti akaun rasmi penganjur di Instagram @starryliveent serta laman Facebook rasmi mereka.