Dalam menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul 1447H, TV3 dan TV9 tampil dengan pendekatan yang lebih bermakna melalui kandungan ilmiah dan penuh nilai kerohanian. Langkah ini menunjukkan komitmen kedua-dua saluran televisyen dalam menyampaikan ilmu serta mendidik masyarakat dengan menghayati sunah dan teladan Rasulullah SAW.
Sebagai sorotan utama bagi kempen tahun ini, program Tanyalah Ustaz yang terkenal dan mendapat sambutan hangat kini hadir dengan imej baharu melalui episod khas bertajuk ‘Bertopengkan Sunah’. Episod ini membincangkan isu penyalahgunaan salasilah Nabi Muhammad SAW demi kepentingan peribadi, puak atau ideologi tertentu, termasuk penggunaan hadis palsu untuk menghalalkan tindakan yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar. Persembahan istimewa ini menampilkan Datuk Ustaz Kazim Elias dan Ustaz Yaakub Yusra sebagai panelis, bersiaran pada 5 September 2025, jam 6.50 pagi di TV3 dan TV9.
Selain itu, penonton juga berpeluang menikmati Bacaan Yasin 2025 yang menampilkan enam qari tersohor dengan alunan murattal masing-masing. Bacaan Surah Yasin ini diperkaya dengan visual A.I. bagi menghidupkan maksud ayat-ayat suci, memberikan pengalaman penghayatan dan kefahaman yang lebih mendalam. Alunan ini dibawakan oleh Da’i Hakim, Da’i Fahmi, Ustaz Fakhrul Radhi, Husaini Mahmuri, Amirahman Abas dan Harith Hakimi.
Siri kapsul Rasulullah Cahaya Inspirasi pula disiarkan mulai 2 hingga 7 September 2025, menonjolkan empat sifat utama Rasulullah SAW iaitu Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fathonah. Setiap episod mengetengahkan kisah ringkas daripada kehidupan Baginda yang memberi inspirasi untuk dijadikan pedoman dalam kehidupan seharian. Tambahan pula, kapsul Selawat yang dibawakan kumpulan Nasyid As-Saif dari SK Telok Pulai, Klang mempersembahkan qasidah selawat berdurasi dua minit dengan penuh penghayatan dan kemerduan, bukan sahaja menanamkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW, malah menonjolkan keindahan seni Islam dalam kalangan generasi muda.
Penonton juga boleh mengikuti Tanyalah Ustaz: Diari Muslim yang disiarkan dari 29 Ogos hingga 20 September 2025, bersama Ustaz Izmir Fareez, bagi membimbing penonton menelusuri amalan sunah harian yang sering terlepas pandang. Antara topik yang bakal dibincangkan termasuk Sambut Laungan Azan, Tahnik dan Aqiqah, Salam dan Izin serta Berkat Setiap Suapan.
Melalui rangkaian program berlandaskan ketakwaan ini, TV3 dan TV9 berharap usaha mereka dapat mengukuhkan perpaduan masyarakat, menyemai kasih sayang serta meningkatkan kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Untuk maklumat terkini dan kandungan menarik, penonton digalakkan mengikuti laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram di @TV3Malaysia serta TV9 di @TV9Malaysia dan TikTok @TV9MalaysiaOfficial bagi menikmati lebih banyak kandungan eksklusif.
0 Comments
Post a Comment