Inul Daratista bersedia untuk menggoncang Pulau Pinang pada 6 Disember ini menerusi konsert berskala besar yang dinamakan Konsert Inul Daratista Live In Malaysia: Millenial Dangdut Nusantara. Lebih istimewa, konsert ini bakal berlangsung di Setia Spice Arena, bukannya di Kuala Lumpur seperti kebiasaannya, sekali gus menjanjikan pengalaman berbeza buat para peminat setianya.

Selepas hampir dua dekad tidak beraksi di pentas konsert besar di Malaysia, penyanyi dangdut tersohor dari Indonesia itu kembali memanaskan gelanggang hiburan tanah air. Malah, kehadirannya semakin dinantikan kerana kali terakhir Inul mengadakan konsert berskala besar di negara ini adalah pada tahun 2007 menerusi Konsert Rentaq Serantau di Stadium Malawati Shah Alam bersama Amy Search, Ella dan Radja. Sebelum itu, beliau pernah menjayakan Konsert Fenomena Dangdut di Stadium Merdeka pada tahun 2005 dan turut membuat persembahan di Genting Highlands pada tahun 2006.

Konsert yang dianjurkan oleh Fajar Baiduri Empire ini mendapat sokongan Istana Budaya melalui Orkestra Tradisional Malaysia di bawah pimpinan Mohd Yazid Zakaria. Bersama 18 pemuzik dan 12 penari di bawah ArtisTana serta kemunculan Mohram, persembahan kali ini dijangka menghadirkan warna baharu serta gabungan istimewa yang mengangkat muzik dangdut ke tahap lebih segar dan berbeza. Turut memeriahkan pentas ialah penyanyi popular Amelina dan Baby Shima yang akan bergandingan dengan Inul untuk menghiburkan para penonton.

Mengulas mengenai kepulangannya, Inul tidak menafikan rasa rindu yang begitu mendalam untuk kembali ke Malaysia selepas hampir 20 tahun tidak membuat persembahan berskala besar. Menurutnya, peluang kembali menghiburkan peminat adalah sesuatu yang amat dinantikan kerana beliau masih mengingati kehangatan sambutan penonton tempatan yang penuh semangat dan memberikan aura positif.

Beliau juga meluahkan keterujaannya untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi konsert kali ini. Baginya, negeri di utara tanah air itu memiliki keindahan tersendiri dan disifatkan klasik, malah ini merupakan kali pertama beliau berpeluang menjayakan persembahan berskala besar di sana.

“Saya benar-benar teruja untuk ke Pulau Pinang. Selama ini konsert saya hanya berlangsung di Kuala Lumpur atau Genting Highlands. Kepada peminat di Malaysia, ayuh bersama saya dan rakan-rakan lain pada 6 Disember nanti. Jangan lupa dapatkan tiket dan kita bergoyang bersama,” katanya penuh semangat.

Tiket untuk menyaksikan Konsert Inul Daratista Live In Malaysia: Millenial Dangdut Nusantara mula dijual pada 9 September menerusi laman sesawang www.myticket.asia. Kehadiran semula Ratu Goyang ini pastinya menjadi detik bersejarah buat penggemar muzik dangdut tempatan yang sudah sekian lama menantikan aksi pentasnya yang bertenaga.