Selepas beberapa tahun menulis dan menghasilkan lagu untuk artis lain, Shazriq Azeman kembali menggegar dunia muzik dengan single terbaharu bertajuk ‘Masih Ada Kau Lagi’. Lagu ini lahir daripada dorongan rakan kolaboratif kreatifnya, Omar K, dan menonjolkan keberanian Shazriq untuk melangkah keluar daripada peranan di sebalik tabir serta bersuara semula sebagai penyanyi.

Berbeza daripada karya-karya terdahulu, ‘Masih Ada Kau Lagi’ membawa sentuhan peribadi Shazriq yang tersimpan kemas dalam setiap bait lagunya. Ia menjadi salah satu karya paling mendalam dalam kariernya, mencerminkan kisah dan kenangan yang dekat di hati penyanyi muda ini. “Waktu saya tulis lagu ini, saya sedang melalui cabaran dan perubahan besar dalam hidup. Jadi setiap kali saya menyanyikan atau mendengarnya semula, ia mengingatkan saya kepada situasi itu dan perasaan yang saya alami ketika itu,” ujar Shazriq dengan penuh keikhlasan.

Lagu ini juga menandakan kolaborasi kedua Shazriq bersama Alternate Records, dengan proses rakaman yang hanya mengambil masa dua hari sahaja. Kematangan Shazriq jelas terserlah bukan sahaja melalui pemahaman situasi, tetapi juga melalui penghayatan vokalnya yang mendalam. “Lagu ini memang wajib didengar. Bunyinya segar, penuh rasa dan sedihnya benar-benar sampai ke hati!” tambahnya berseloroh.

Menurut Omar K, kekuatan lagu ini terletak pada gabungan vokal serak basah Shazriq yang bertenaga dengan susunan muzik minimalis sarat emosi. “Terus terang, saya rasa ini peluang besar. Vokal Shazriq luar biasa, kalau dapat material yang tepat dia mampu buat pendengar meremang bulu roma. Dia ada kemampuan menghidupkan cerita lagu sampai pendengar rasa seperti berada di dalamnya,” jelas Omar K.

Selain bakat semula jadi, Shazriq turut menonjol dengan disiplin dan visi kreatif yang tinggi, memastikan setiap sesi rakaman lebih tersusun dan berkualiti. “Dia datang dengan fokus, tenaga dan idea. Setiap kali dia menyanyi, pasti ada momen luar biasa – itu tanda seorang artis sebenar,” tambah Omar K.

‘Masih Ada Kau Lagi’ merupakan sebuah balada moden berteraskan pop kontemporari yang mengisahkan hati yang dikhianati, namun rindu tetap membekas. Lagu ini membawa pendengar menyelusuri perjalanan emosi – daripada kekeliruan dan kehampaan, kepada keberanian melepaskan walaupun kenangan manis masih segar – melalui bait lirik seperti:
Biarpun aku yang tersakiti,
Biar ku melangkah pergi mencari,
Takdir yang tersembunyi.

Menariknya, lagu ini turut dipilih sebagai runut bunyi (OST) drama Bintang Di Langit Syawal di slot Samarinda TV3, yang bakal bersiaran pada 14 Oktober 2025. Para peminat kini boleh mendengarkan ‘Masih Ada Kau Lagi’ melalui platform digital kegemaran mereka seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music dan lain-lain.

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial mereka di Facebook, Instagram @alternate.my_, dan TikTok @alternate.rt_.