Sore: Istri dari Masa Depan bakal membawa penonton menyusuri sebuah perjalanan emosi yang sarat dengan elemen fantasi dan percintaan. Filem ini dijadualkan menemui peminat di pawagam bermula 25 September 2025 dan sekali lagi mengangkat gandingan dua bintang Indonesia yang sedang berada di puncak populariti, Sheila Dara Aisha dan Dion Wiyoko.
Sheila Dara Aisha, yang kini semakin menyerlah sebagai pelakon versatil, sebenarnya sudah lama menjejakkan kaki ke dunia hiburan. Sejak kecil lagi beliau aktif dalam bidang nyanyian bersama trio Arvaby dan pernah menjadi wajah duta McKids sekitar tahun 2000. Ramai mungkin tidak menyedari bahawa suara Sheila pernah menghiasi lagu tema kartun ikonik Crayon Shinchan dan Hamtaro dalam versi Indonesia. Selepas itu, beliau mula serius dalam bidang lakonan melalui filem Romantini pada tahun 2013 dan perlahan-lahan membina reputasi melalui deretan filem popular seperti Marmut Merah Jambu, Sabtu Bersama Bapak, Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini serta Jatuh Cinta Seperti di Film Film. Keupayaannya menjiwai watak dengan pelbagai sisi menjadikan Sheila antara wajah penting dalam sinema Indonesia masa kini.
Pasangannya dalam naskhah terbaharu ini, Dion Wiyoko, kembali memegang watak Jonathan yang sudah diperkenalkan sejak webfilm asal Sore pada tahun 2017. Dion mula menapak dalam dunia hiburan melalui bidang permodelan selepas memenangi kategori Wajah Oriental dalam pertandingan majalah Aneka Yess!, seakan setaraf dengan Hero Remaja di Malaysia. Namun, namanya benar-benar melonjak apabila membawakan watak Yohan dalam Cek Toko Sebelah yang sekaligus mengangkat reputasinya di layar perak. Lakonannya yang penuh emosi berjaya meraih pengiktirafan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Paling Popular di Indonesian Movie Actors Awards di samping beberapa pencalonan berprestij lain. Selain Cek Toko Sebelah, Dion juga membintangi filem-filem menarik seperti Mimpi Sejuta Dolar, Karier, Cinta dan Timbangan serta Jatuh Cinta Seperti di Film Film.
Di luar dunia lakonan, Dion menyalurkan minatnya dalam bidang fotografi. Apa yang bermula sebagai hobi santai kini berkembang menjadi sebuah ekspresi seni yang mendalam. Malah, beberapa hasil bidikan lensanya turut ditampilkan dalam Sore: Istri dari Masa Depan, menjadikan filem ini lebih istimewa dengan sentuhan peribadi daripadanya.
Apabila Sheila Dara Aisha dan Dion Wiyoko bergandingan, hasilnya sudah tentu tidak mengecewakan. Keserasian mereka yang pernah dipertontonkan dalam beberapa karya terdahulu kini diteruskan dalam sebuah kisah yang lebih menyentuh hati. Tidak hairanlah naskhah ini sudah menerima sambutan hangat di Indonesia, malah ada penonton yang mengaku sanggup menontonnya berkali-kali kerana terbuai dengan jalan ceritanya.
Sore: Istri dari Masa Depan menjanjikan sebuah kisah cinta yang diuji oleh perjalanan waktu. Adakah cinta mampu bertahan merentas dimensi yang tidak terjangka? Semua jawapan menanti di pawagam bermula 25 September 2025.
0 Comments
Post a Comment