Melihat kepada sambutan luar biasa yang diterima terhadap Konsert Inul Daratista Live In Malaysia yang bakal berlangsung pada 6 Disember ini, pihak penganjur tampil dengan satu inisiatif baharu untuk menyemarakkan lagi irama dangdut di tanah air. Bertempat di Setia Spice Arena, Pulau Pinang, konsert yang menampilkan ratu dangdut tersohor Indonesia, Inul Daratista, turut akan diserikan dengan persembahan daripada dua nama besar tempatan, Amelina dan Baby Shima.
Pengarah Urusan Fajar Baiduri Empire, Khairul Isma, berkata idea untuk mengadakan pencarian bakat ini tercetus selepas pihaknya menerima maklum balas positif daripada para peminat yang tidak sabar menantikan konsert tersebut. Katanya, ramai yang memberi cadangan agar penganjur turut membuka ruang kepada bakat baharu untuk diketengahkan dalam genre dangdut yang semakin kurang pelapis muda.
“Maklum balas yang kami terima amat menggalakkan. Ada peminat yang bertanya mengapa kami tidak mencari pelapis baharu dalam dunia dangdut, dan dari situ timbul idea untuk menganjurkan pertandingan khas buat mereka yang berbakat,” jelasnya.
Bagi menjayakan usaha ini, Fajar Baiduri Empire memperkenalkan pertandingan Millenial Dangdut Karaoke Idol 2025, satu platform untuk mencari wajah dan suara baharu yang mampu mengembalikan semangat dangdut di Malaysia. Pertandingan ini bakal diadakan di Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang dan terbuka kepada semua individu yang berani mencuba nasib serta ingin menyerlahkan bakat dalam irama dangdut.
Juara pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 serta peluang istimewa untuk menjadi penyanyi rakaman di bawah label penganjur. Tempat kedua pula bakal menerima RM1,000 manakala lima finalis lain akan membawa pulang RM700 setiap seorang. Tarikh tutup penyertaan ditetapkan pada 8 November ini.
Khairul Isma turut menegaskan bahawa pasaran untuk lagu-lagu dangdut masih wujud dan mempunyai kelompok peminat yang setia walaupun kini ramai penyanyi muda lebih cenderung memilih genre moden seperti pop dan balada. Katanya, inilah masanya untuk golongan muda menunjukkan keunikan bakat masing-masing serta membantu menghidupkan kembali genre yang pernah menjadi kegemaran ramai pada era terdahulu.
“Platform ini kami sediakan untuk membuka peluang kepada semua yang mahu mencuba. Jangan biarkan bakat anda disia-siakan. Sertai pertandingan ini dan jadilah sebahagian daripada generasi baharu yang memperjuangkan muzik dangdut,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, pihak penganjur turut menzahirkan rasa teruja dengan sambutan hebat terhadap Konsert Inul Daratista Live In Malaysia. Kehadiran Inul selepas hampir dua dekad tidak membuat persembahan di negara ini pastinya menjadi penantian peminat yang rindu akan aksi lincah dan suara lantang penyanyi terkenal itu.
“Ini masanya untuk kita mengubat rindu kepada ratu dangdut Indonesia. Masih ada masa untuk semua mendapatkan tiket dan bersama-sama menikmati persembahan hebat daripada Inul, Amelina dan Baby Shima nanti. Bagi yang berbakat pula, jangan lepaskan peluang menyertai Millenial Dangdut Karaoke Idol 2025. Ayuh kita sama-sama melestarikan irama dangdut dan terus menghidupkan industri muzik tanah air,” ujar Khairul Isma. Untuk maklumat lanjut dan cara penyertaan, orang ramai boleh melayari laman media sosial Suara Space.
0 Comments
Post a Comment