Rumah produksi SR One Sdn. Bhd. sekali lagi membuktikan keunggulannya dalam industri hiburan tempatan apabila karya terbaharu terbitan penerbit prolifik Siti Rosmizah berjaya mencuri perhatian penonton menerusi drama bersiri Mutiara Dalam Debuan Kabus. Ditayangkan menerusi slot MegaDRAMA di saluran Astro RIA setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam, drama 24 episod ini sudah mula mencetuskan fenomena sejak bersiaran pada 6 Oktober lalu.
Diadaptasi daripada novel popular nukilan Siti Rosmizah sendiri, drama ini diarahkan oleh Harris Fadzillah dan merupakan kesinambungan kepada karya terdahulu Dedaun Hijau Di Angin Lalu yang turut mendapat sambutan hangat daripada penonton. Mutiara Dalam Debuan Kabus tampil dengan jalan cerita yang sarat emosi, mengangkat tema cinta, dendam dan penebusan dalam suasana konflik rumah tangga yang tegang.
Lebih menarik, drama ini mempertemukan dua pelakon hebat tanah air, Zahiril Adzim dan Emma Maembong, dalam kolaborasi pertama mereka di bawah satu naskhah yang penuh intensiti. Zahiril membawa watak Uzzam Zulkarnain, seorang lelaki yang dingin, keras hati dan sarat dengan amarah selepas diperangkap untuk berkahwin dengan Aslin, lakonan Emma Maembong. Sementara itu, Emma tampil dengan sisi berbeza sebagai Aslin, seorang wanita yang penuh muslihat, tidak mahu kalah dan hidup dalam dendam serta kebencian, menjadikan hubungan mereka penuh pertentangan dan permainan emosi yang mendalam.
Seperti novelnya, jalan cerita Mutiara Dalam Debuan Kabus disampaikan dengan realistik dan dekat dengan realiti kehidupan masyarakat. Ia bukan sekadar drama mengenai cinta dan pengkhianatan, tetapi juga refleksi terhadap konflik dalaman manusia yang bergelut antara dendam dan keikhlasan, maruah dan kasih sayang. Penonton yang mengikuti drama ini sejak episod pertama nyata terpikat dengan lakonan cemerlang Zahiril dan Emma yang berjaya menghidupkan watak mereka dengan begitu berkesan. Zahiril dengan karisma tegas dan ekspresi tenang penuh makna, manakala Emma pula menonjolkan sisi emosi dan keperitan yang membangkitkan simpati.
Plot cerita semakin menarik apabila penonton diperkenalkan dengan misteri kehilangan memori Aslin selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari. Setelah sedar daripada koma, Aslin mendapati dirinya tidak mengenali sesiapa termasuk suaminya Uzzam. Dia mula menelusuri semula kehidupannya dan mendapati rumah tangga mereka sebenarnya sudah lama retak. Namun, segala-galanya berubah apabila dia mengetahui bahawa dirinya bukanlah isteri sebenar kepada Uzzam, dan nama sebenarnya ialah Airina. Dari situlah bermulanya perjalanan penuh konflik, teka-teki dan bahaya yang menguji kekuatan seorang wanita mencari kebenaran tentang siapa dirinya yang sebenar.
Kekuatan drama ini terletak pada olahan skrip yang kemas dan sinematografi yang indah, dibantu oleh pengarahan mantap Harris Fadzillah. Setiap babak membawa penonton menyelami lapisan emosi watak dengan penuh intensiti, menjadikan Mutiara Dalam Debuan Kabus bukan sekadar tontonan hiburan tetapi juga sebuah karya yang menyentuh hati.
Selain Zahiril dan Emma, drama ini turut dibintangi barisan pelakon berpengalaman seperti Watie Elite, Jasmin Hamid, Safura Ya’akob, Natasya Mahyan, Khaty Azian, Manan Sulaiman dan Faye Kusairi yang melengkapkan kekuatan naskhah ini dengan persembahan yang meyakinkan.
Dengan reputasi SR One Sdn. Bhd. yang sinonim dengan karya-karya berkualiti tinggi serta penulisan berlapis emosi oleh Siti Rosmizah, Mutiara Dalam Debuan Kabus bukan sekadar drama biasa. Ia adalah sebuah kisah yang mengajak penonton menyelami sisi gelap manusia, makna cinta sejati dan perjuangan untuk mengenal diri di tengah kabus kehidupan yang penuh rahsia.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan Mutiara Dalam Debuan Kabus setiap Isnin hingga Khamis pukul 10 malam di saluran Astro RIA, sebuah drama yang bukan sahaja sarat konflik dan misteri, tetapi juga menyentuh nilai kemanusiaan dan kekuatan hati seorang wanita yang berjuang mencari kebenaran.
0 Comments
Post a Comment