Penyanyi berbakat besar, Jimi, kembali mencuri perhatian peminat muzik tempatan menerusi single terbaharunya berjudul Selingkuh, sebuah karya penuh emosi yang menyelami kisah kekecewaan, kejujuran dan keberanian untuk melepaskan cinta yang sarat kepalsuan. Lagu ini merupakan single kedua Jimi bersama Alternate Records dan menjadi bukti jelas terhadap kematangan serta evolusi muziknya yang semakin menonjol.
Dicipta oleh Seow Seng Tack, Ja’a dan Glowrush, Selingkuh membawa pendengar menelusuri perjalanan emosi seseorang yang dikhianati daripada luka dan kekecewaan yang mendalam, hingga ke detik kebangkitan demi mempertahankan maruah dan ketenangan diri. Melalui lirik yang jujur dan tidak berselindung, lagu ini menjadi cerminan kepada realiti pahit sebuah hubungan yang sudah kehilangan keikhlasan.
Menurut Jimi, menyanyikan Selingkuh merupakan satu penghormatan besar dalam perjalanan seninya. “Saya beri sepenuh jiwa dan tenaga untuk setiap nota dalam lagu ini. Ia bukan sekadar tentang kecurangan, tetapi lebih kepada kejujuran terhadap diri sendiri apabila seseorang menyedari bahawa terus bertahan hanya akan membawa lebih banyak luka,” jelasnya.
Proses rakaman vokal bagi lagu ini mengambil masa sekitar empat hingga lima jam sahaja. Namun, Jimi mengakui terdapat beberapa bahagian yang memerlukan fokus dan tenaga sepenuhnya bagi mencapai suasana dan getaran yang diinginkan. “Cabaran utama lagu ini adalah untuk mengekalkan aura rock tanpa mengorbankan identiti vokal saya sendiri. Kali ini saya perlu tampil lebih agresif dari segi tenaga dan penyampaian, namun pada masa sama mengekalkan emosi dalam setiap bait liriknya,” tambahnya lagi.
Bagi trio komposer Seow Seng Tack, Ja’a dan Glowrush, Selingkuh tercipta daripada keinginan untuk menyampaikan rasa kecewa secara terus dan jujur tanpa sebarang penapisan. Mereka menjelaskan bahawa keunikan lagu ini terletak pada liriknya yang tajam dan realistik, dengan frasa seperti “duit habis kau sapu” dan “hanya dengan selamba” yang menggambarkan perasaan marah dan kecewa seseorang yang benar-benar terluka.
Menariknya, proses penciptaan lagu ini berlangsung ketika sambutan Tahun Baharu Cina. Meskipun masing-masing berada di lokasi berbeza, ketiga-tiga komposer berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp bagi menyiapkan susunan muzik dan rakaman demo sebelum sesi rakaman akhir bersama Jimi dijalankan di studio.
Menggabungkan unsur rock klasik dengan elemen elektronik moden, Selingkuh menawarkan pengalaman bunyi yang segar dan kontemporari. Ia bukan sahaja mengekalkan semangat rock yang bertenaga, tetapi juga memberi suntikan gaya baharu yang sesuai dengan selera pendengar masa kini. “Saya mahu menunjukkan sisi lain diri saya yang mungkin belum dikenali ramai sisi yang lebih berani, garang dan penuh tenaga pentas,” ujar Jimi.
Bagi Jimi, Selingkuh bukan sekadar sebuah lagu tentang kecurangan. Ia adalah lambang kejujuran, keberanian dan pembebasan diri daripada kepura-puraan yang sering menghantui sebuah hubungan. “Pendengar patut dengar lagu ini kerana ia membawa rasa yang sangat peribadi dan jujur. Gabungan tenaga rock dan emosi menjadikan ia sesuatu yang dekat dengan realiti hidup sebenar,” katanya mengakhiri bicara.
Dengan vokal yang lantang, lirik yang tajam serta produksi yang kemas, Selingkuh dijangka menjadi antara karya paling berani dan signifikan dalam perjalanan muzik Jimi setakat ini. Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk YouTube dan Spotify. Untuk perkembangan terkini mengenai Alternate Records & Talents, ikuti akaun rasmi mereka di Facebook, @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.
0 Comments
Post a Comment