Menurut Pemilik Amber dan Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datuk Adzliana Hasan, koleksi ini bukan sekadar memperkenalkan rekaan baharu, tetapi turut membawa mesej bermakna bahawa setiap wanita berhak untuk tampil anggun dan yakin dengan gaya sendiri. Beliau menjelaskan bahawa Amber Oasis 2.0: Mirage melambangkan wanita moden yang berani, lembut dan penuh karakter. Fabrik yang digunakan juga dipilih dengan teliti agar sesuai dipakai sepanjang hari tanpa rasa panas atau melekat di badan, sekaligus memberikan keselesaan maksimum kepada pemakai. Datuk Adzliana turut menjelaskan bahawa nama “Mirage” dipilih kerana menggambarkan ilusi dan bayangan indah sesuatu yang tampak jauh tetapi tetap mempesona, seumpama pesona seorang wanita yang penuh rahsia dan daya tarikan semula jadi. Setiap potongan direka bagi meraikan keanggunan wanita dari pelbagai latar usia dan personaliti, sebagai tanda penghormatan kepada wanita yang kuat namun tetap lembut dalam gaya dan tutur.
Tiga koleksi utama diperkenalkan di bawah Amber Oasis 2.0: Mirage iaitu Bella, Laila dan Medina. Koleksi Bella, berharga RM389 dan menggunakan fabrik Shimmering Voile, menampilkan rekaan dua helai yang ringkas namun mewah, hadir dalam tona bumi seperti Oud Brown, Rose Gold dan Tilbury Teal sempurna untuk wanita elegan yang berkeyakinan tinggi. Koleksi Laila pula, berharga RM269 dan dihasilkan daripada fabrik Armane Satin, menonjolkan potongan moden serta ringan dalam pilihan warna Magenta, Grey dan Pale Blue yang menyerlahkan keseimbangan antara keberanian dan kelembutan. Sementara itu, koleksi Medina yang dijual pada harga RM329 menggunakan fabrik Shimmering Voile dengan potongan flowy serta lengan reben romantik dalam warna Blush Peach, Purplish Gold, Olive Gold dan Burnt Orange, melengkapkan gaya anggun sepanjang hari.
Dengan penggunaan fabrik ringan dan mudah digosok, koleksi ini memberikan keselesaan maksimum tanpa mengorbankan gaya. Ia meraikan keanggunan, kekuatan dan misteri seorang wanita dalam setiap helaian, menjadikan Amber Oasis 2.0: Mirage sebagai simbol keyakinan dan ketenangan yang berpadu indah dalam dunia fesyen Muslimah kontemporari.
Sebagai wajah utama kempen ini, Nora Danish meluahkan rasa bangga kerana dapat mewakili jenama yang meraikan keindahan wanita berhijab tanpa mengetepikan elemen fesyen. Menurutnya, berhijab bukan penghalang untuk tampil bergaya, sebaliknya satu peluang untuk mengekspresikan diri dengan cara yang sopan, anggun dan elegan. Nora turut menyatakan bahawa koleksi Mirage amat dekat di hatinya kerana ia menonjolkan kesederhanaan yang berpadu dengan keanggunan moden, sekaligus mencerminkan keperibadian dirinya.
Pelancaran Amber Oasis 2.0: Mirage – A Secret by The Desert menandakan kesinambungan kejayaan Amber dalam memperkukuh kedudukannya sebagai jenama fesyen tempatan yang terus melangkah ke peringkat antarabangsa. Dengan rekaan yang elegan, eksklusif dan penuh makna, Amber terus mengangkat martabat fesyen Muslimah, meraikan setiap wanita sebagai lambang keindahan, kekuatan dan keyakinan.



0 Comments
Post a Comment