DIGNIFIED: The Faisal Cup Story muncul sebagai sebuah dokumentari yang membuka ruang baharu dalam sinema Malaysia, khususnya dalam mengetengahkan realiti kehidupan komuniti pelarian. Karya ini membawa penonton menelusuri impian sekumpulan anak-anak pelarian yang berani mengidamkan sesuatu yang kelihatan mustahil: beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebuah pentas berprestij yang sebelum ini seakan tidak pernah tersedia untuk mereka. Di sebalik impian tersebut tersingkap naratif tentang identiti, harga diri dan keinginan sejagat manusia untuk dirai sebagai insan bermaruah.
Dirakam sepanjang tempoh satu tahun, dokumentari ini menyorot kehidupan anak-anak muda pelarian dan golongan kurang berkemampuan yang berlatih dengan penuh disiplin demi peluang yang hanya muncul sekali dalam hidup. Perjalanan ini membuktikan bahawa golongan pelarian juga mampu menempa kejayaan sekiranya diberi ruang dan kepercayaan oleh masyarakat. Melalui perspektif seorang guru dan jurulatih Malaysia, Jeremy Chin, serta dua remaja pelarian Kurban Ali dari komuniti Rohingya dan Ezra Van Lian Ceu dari komuniti Chin Myanmar penonton dibawa menyaksikan potret intim mengenai persahabatan, pengorbanan dan nilai maruah yang sering terpinggir.
![]() |
| Hazel Desmond |
Filem ini turut menandakan kemunculan Hazel Desmond sebagai pengarah, yang membawa pengalaman lebih 15 tahun dalam dunia penyampaian berita ke layar dokumentari. Hazel membiarkan kamera menangkap detik tulus yang sarat emosi, tanpa solekan dramatik, sekali gus menghasilkan visual yang jujur dan penuh empati. Sentuhan pengarah ini diperkemaskan oleh pengalaman Penerbit Eksekutif, Steve Chao, pemenang dua pencalonan Anugerah Emmy yang terkenal dengan karya-karya kemanusiaan mendalam. Gabungan kedua-duanya melahirkan sebuah dokumentari yang matang, elegan dan berani menampilkan realiti tanpa sensationalisme.
DIGNIFIED: The Faisal Cup Story turut berperanan sebagai cermin masyarakat Malaysia dalam memahami dinamika antara nilai ihsan dan realiti dasar berkaitan pelarian. Hazel menegaskan bahawa filem ini tidak mengangkat mereka sebagai mangsa, tetapi sebagai individu yang berani bermimpi dan membina semula keyakinan diri melalui sukan. Dokumentari ini juga menampilkan sisi Malaysia yang sering terlepas pandang rakyat yang membuka peluang, komuniti yang sudi membantu, serta nilai ihsan yang terus hidup biarpun berdepan cabaran dasar.
Turut muncul dalam dokumentari ini ialah aktivis kemanusiaan dan Miss Universe Malaysia 2011, Deborah Henry, serta sokongan daripada YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan. Kehadiran tokoh-tokoh ini mengukuhkan lagi kedudukan dokumentari ini sebagai sebuah karya penting yang merentas isu sukan, identiti dan kemanusiaan.
Menurut data UNHCR setakat Oktober 2025, Malaysia menempatkan 211,360 pelarian dan pencari suaka, termasuk 64,801 kanak-kanak di bawah usia 18 tahun, yang merupakan sebahagian daripada 42.5 juta pelarian di seluruh dunia. Namun DIGNIFIED: The Faisal Cup Story mengingatkan penonton bahawa di sebalik setiap angka itu terdapat wajah, dan di sebalik wajah tersebut tersembunyi cerita yang membawa impian kecil yang ingin terus kedengaran.



0 Comments
Post a Comment