Tiga episod pertama siri kegemaran ramai yang cukup dinantikan, Keluarga Iskandar 3, telah menemui peminat bermula 6, 7 dan 8 Februari lalu, bersiaran setiap Jumaat hingga Ahad jam 9 malam di Astro Ria. Musim ketiga drama bersiri popular ini kembali dengan barisan pelakon utama yang masih mengekalkan karakter ikonik seperti Khatijah Ali atau Mak Jah lakonan Kismah Johari, Hilal Azman sebagai Aziz Iskandar (Abang Long), Sobri Anuar sebagai Azman Iskandar (Abang Ngah), Susan Lankester sebagai Kamariah Abdullah (Kak Ngah), Azhar Sulaiman sebagai Kamal (Abang Teh), Anita Baharom sebagai Azura Iskandar (Kak Teh) serta Zain Hamid sebagai Azlan Iskandar (Ayah Chik).
Selain watak-watak sedia ada, kehadiran salah seorang watak baharu dalam musim ketiga ini turut mencuri perhatian peminat dan menambahkan lagi keterujaan terhadap Keluarga Iskandar 3. Menerusi perkongsian di media sosial seperti Threads, Instagram dan Facebook, ramai meluahkan rasa teruja melihat pelakon Baizura Kahar kembali ke layar kaca televisyen selepas sekian lama menyepi. Rata-rata peminat menyatakan tidak sabar untuk menonton episod-episod seterusnya bagi mengetahui lebih lanjut tentang watak yang dibawakan Baizura.
Buat peminat setia, kemunculan Baizura sebagai Dr Sofea, isteri kepada Alan, disifatkan sebagai pengubat rindu selepas lebih sedekad tidak menyaksikan pelakon itu aktif berlakon. Kali terakhir Baizura muncul di layar perak adalah menerusi filem Sepi yang ditayangkan sekitar tahun 2008. Menurut Baizura, selepas menamatkan pengajian, dia memilih untuk memberi fokus kepada kerjaya dan berehat panjang daripada dunia lakonan selama hampir 17 hingga 18 tahun.
Berkongsi mengenai kemunculan semulanya, Baizura menjelaskan minat terhadap lakonan tidak pernah pudar, malah sentiasa menjadi keghairahan dan passion dalam dirinya. Dengan anak-anak yang kini sudah membesar, dia merasakan ini adalah waktu paling sesuai untuk kembali berlakon, namun dengan syarat projek yang ditawarkan adalah tepat dan bersesuaian. Tawaran daripada KL Motion Pictures Sdn Bhd untuk terlibat dalam Keluarga Iskandar 3 diterima kerana beberapa faktor, termasuk keselesaan dan keyakinan terhadap naskhah serta pasukan produksi.
Sebagai seorang penulis yang sudah biasa bekerjasama dengan produksi yang sama, termasuk pengarah dan penulis skrip Keluarga Iskandar, Wan Hazliza Wan Zainuddin, Baizura mengakui penglibatan dalam musim terkini drama yang mula diperkenalkan pada tahun 2012 ini memberikan keselesaan buat dirinya. Tambahan pula, Keluarga Iskandar 3 yang diterbitkan sebanyak 24 episod disifatkan tidak terlalu berat dan sesuai dijadikan batu loncatan untuknya kembali aktif dalam industri lakonan.
Dengan pembabitan sulungnya dalam musim ketiga ini, Baizura turut mengumumkan kesediaannya untuk menerima tawaran lakonan pada masa akan datang. Dia mengakui seronok kembali ke set penggambaran dan terbuka untuk menerima projek yang benar-benar dekat di hati serta bersesuaian dengan dirinya. Keluarga Iskandar 3 boleh ditonton setiap Jumaat hingga Ahad jam 9 malam di Astro Ria atau distrim menerusi Astro GO dan sooka.


0 Comments
Post a Comment