Pengarah prolifik, Shahrul Ezad Mohammedin atau lebih dikenali sebagai Budakijat, kembali dengan karya terbaharu berjudul Sujud Terakhir Encik Norman (STEN) yang pantas mencuri perhatian netizen sebaik teasernya dikongsikan di pelbagai platform media sosial. Siri ini dijadualkan memulakan tayangan perdana pada 4 Februari dan sejak itu menjadi bualan ramai.

Perhatian yang diterima bukan sahaja disebabkan barisan pelakon utama seperti Sharifah Sakinah, Aidil Aziz dan Trisha Ooi yang berjaya meninggalkan kesan menerusi beberapa babak mencengkam yang dikongsi, malah turut didorong oleh aksi luar jangka Sharifah Sakinah yang membawa watak Emma memegang senjata bazooka. Babak tersebut menimbulkan tanda tanya dan mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan penonton.




Bazooka, yang secara ringkasnya merupakan pelancar roket yang diletakkan di bahu dan berupaya memusnahkan sasaran, dipaparkan dalam satu babak dramatik apabila Emma dilihat memecut kenderaannya mengejar pesawat yang dinaiki suaminya, Norman lakonan Aidil Aziz, bersama Alisa yang dibawakan oleh Trisha Ooi, sebelum melepaskan tembakan ke arah pesawat tersebut.

Persoalannya, apakah kaitan bazooka dengan Sujud Terakhir Encik Norman? Menurut Budakijat, elemen tersebut sama ada sekadar simbolik kepada kemarahan dan emosi seorang wanita atau benar-benar membawa kepada tindakan ekstrem yang mengubah jalan cerita. “Jika mahu tahu, kena tonton kerana penonton akan menemukan banyak kejutan dan pengajaran dalam naskhah ini,” katanya.

Apa yang pasti, STEN tampil sebagai naskhah yang seiring dengan peredaran zaman apabila turut mengaplikasikan sentuhan kecerdasan buatan atau AI, khususnya dalam babak bazooka menembak pesawat. Budakijat menjelaskan kolaborasi antara kreativiti manusia dan penggunaan AI bukan bermaksud karyawan kehabisan idea, sebaliknya melambangkan produksi yang bergerak seiring dengan perkembangan teknologi.

          

Menurutnya, penonton akan dapat melihat bagaimana elemen AI disulam dalam penceritaan drama ini sebagai salah satu alat yang membantu merealisasikan idea dengan kekangan bajet. Namun, beliau menegaskan bahawa AI bukan pengganti kreativiti manusia kerana pada akhirnya manusialah yang menjadi pemikir dan penggerak utama kepada teknologi tersebut.

Sujud Terakhir Encik Norman terbitan Radius One bakal bersiaran setiap Rabu dan Khamis menerusi slot DramaVaganza pada jam 9 malam di Astro Ria. Drama bersiri 28 episod ini mengangkat tema keagamaan, hubungan kekeluargaan dan pengorbanan, serta turut boleh ditonton menerusi platform penstriman Astro GO dan Sooka.