Sempena bulan Ramadan yang mulia, dua restoran terkenal, Gajah Tiga Cafe dan Farmer Village, buat julung kalinya bergabung mempersembahkan Sajian Imbauan Desa menerusi hidangan bufet berbuka puasa yang mengetengahkan cita rasa tradisional Melayu. Kolaborasi ini menjanjikan lebih 70 hidangan warisan yang menggamit kenangan, sesuai dinikmati bersama keluarga dan rakan-rakan sepanjang bulan Ramadan.

Sajian Imbauan Desa menampilkan masakan tradisional Melayu ala kampung yang dekat dengan selera tempatan. Antara hidangan istimewa termasuk Cucur Udang sebagai menu signatur Gajah Tiga, selain Rendang Tok, Ayam Masak Lemak Cili Api, Gulai Daging Kawah, sate ayam dan daging, Tempoyak Pucuk Ubi serta Kambing Golek. Turut melengkapi bufet ini ialah pelbagai pembuka selera seperti Gado-Gado dan aneka kerabu termasuk Kerabu Pegaga serta Kerabu Ikan Bilis.

Bagi pencinta manisan, hampir 20 jenis kuih tradisional dan pencuci mulut disediakan antaranya Pengat Pisang, Bubur Pulut Hitam, Roti Jala, Cucur Jawa, Bingka Ubi, Talam Cendol, aneka rojak buah serta aiskrim, sekali gus menambahkan kemeriahan suasana berbuka puasa.

Pengasas Farmer Village, Peter Ng berkata, kerjasama tersebut bertujuan menawarkan variasi pilihan yang lebih unik kepada para pelanggan dengan menggabungkan kepakaran kedua-dua pihak. Menurut beliau, ini merupakan kali pertama Farmer Village menganjurkan bufet Ramadan dengan konsep Suasana Bazar Ramadan yang diinspirasikan daripada kemeriahan dan nostalgia bulan puasa. Beliau turut menyasarkan Farmer Village sebagai lokasi rekreasi yang boleh dinikmati oleh tiga generasi serentak, menawarkan gabungan makanan, minuman dan persekitaran santai untuk seisi keluarga.

Sementara itu, Pengarah Gajah Tiga, Nazri Hendra menjelaskan bahawa Gajah Tiga Cafe yang bernaung di bawah Gajah3 Foods Sdn Bhd bermula sebagai kumpulan kecil yang berkongsi minat untuk memartabatkan masakan tradisional Melayu serta memberi nafas baharu menerusi penyelidikan dan pembangunan. Beliau berharap kerjasama strategik ini mampu mengangkat nama kedua-dua restoran dalam arena masakan Melayu, selari dengan matlamat bersama yang diketengahkan untuk Ramadan kali ini.

Bufet Ramadan Sajian Imbauan Desa akan bermula pada 23 Februari 2026. Harga seorang adalah antara RM78 hingga RM128, manakala 1,000 pelanggan terawal yang membuat tempahan layak menikmati harga promosi ‘early bird’ serendah RM68 hingga RM98. Untuk pertanyaan dan tempahan, orang ramai boleh menghubungi talian 012-725 9113 atau 012-747 9113, atau membuat tempahan melalui pautan WhatsApp rasmi Farmer Village.

Farmer Village diasaskan oleh Dato’ Peter Ng, seorang pemaju hartanah berpengalaman, dan dibangunkan di atas tanah seluas 60 ekar dengan 10 ekar diperuntukkan khusus untuk pembangunan konsep tersebut, manakala selebihnya melibatkan pembangunan pangsapuri dan ruang komersial. Entiti ini juga mempunyai kaitan dengan jenama Uncle Farmer. Gajah Tiga Cafe pula memulakan operasinya pada tahun 2014 di Taman Maluri sebelum berpindah ke Hotel Maluri, dan kini menawarkan lebih 100 jenis makanan serta minuman setiap hari dalam suasana yang tenang dan selesa.