Fenomena muzik dari Timur Indonesia kini bersedia menghangatkan pentas ibu kota menerusi Malam FYP Timur, sebuah konsert yang meraikan kebangkitan budaya muzik Timur Indonesia yang semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda. Konsert julung kali seumpamanya ini bakal berlangsung pada 24 April 2025, jam 8.30 malam di Zepp Kuala Lumpur.

Dianjurkan oleh Gaga Entertainment, sebuah syarikat pengurusan artis, produksi acara dan perhubungan awam terkemuka di Malaysia, Malam FYP Timur menjanjikan sebuah malam yang sarat dengan tenaga dan keunikan muzik rentas budaya. Konsert ini menggabungkan elemen hiburan digital dengan persembahan secara langsung, selari dengan citarasa audiens masa kini.

Malam FYP Timur menampilkan tiga nama besar dari Indonesia iaitu Silet Open Up, Faris Adam dan Ecko Show yang masing-masing dikenali menerusi karya tular di media sosial serta carta penstriman digital. Silet Open Up merupakan peneraju gerakan muzik Timur Indonesia dengan lagu hit Tabola Bale yang telah mencatat lebih 475 juta penstriman di Spotify dan 350 juta tontonan di YouTube. Faris Adam pula ialah penyanyi dan penulis lagu dari Maluku yang mencuri perhatian ramai menerusi lagu Stecu Stecu dengan lebih 150 juta penstriman Spotify dan 184 juta tontonan YouTube. Ecko Show, ikon hip hop Indonesia, pula merekodkan lebih 250 juta penstriman Spotify dan 600 juta tontonan YouTube, serta dikenali dengan lirik tajam dan penceritaan yang dekat dengan jiwa anak muda.

Dengan konsep yang diinspirasikan daripada “For You Page” atau FYP di media sosial, Malam FYP Timur dijangka mencipta pengalaman konsert yang interaktif dan berbeza daripada kebiasaan. Konsert ini turut menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan budaya antara Indonesia dan Malaysia, khususnya dalam kalangan generasi Gen Z dan Milenial yang semakin terbuka kepada kepelbagaian muzik serantau.

Menurut pihak penganjur, Gaga Entertainment, penganjuran Malam FYP Timur bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya sebuah perayaan budaya. Mereka mahu membawa fenomena muzik Timur Indonesia yang kini mendominasi platform digital terus ke pentas Malaysia. Malam FYP Timur dilihat sebagai perayaan tenaga muda dan hubungan serantau yang disatukan melalui muzik.

Konsert ini akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur dengan kapasiti seramai 2,414 penonton. Tiket dijual dalam beberapa kategori termasuk tiket berdiri dan duduk, serta pilihan VIP Box untuk sepuluh orang. Jualan tiket boleh didapati menerusi platform Ticket2U. Acara ini turut disokong oleh rakan radio rasmi ERA.FM, rakan digital rasmi Astro Gempak, rakan hotel rasmi Royale Chulan Kuala Lumpur, rakan perubatan rasmi Events Medical Support & Services serta rakan pengangkutan rasmi Trans Eclipse Venture.

Butiran Konsert:

Tarikh : 24 April 2025

Masa : 8.30 malam

Lokasi : Zepp Kuala Lumpur

Kapasiti : 2,414 penonton


Kategori Tiket:

 Cat 1 (Standing): RM228

 Cat 2 (Standing): RM208

 Cat 3 (Standing): RM188

 Cat 4 (Seating): RM238

 Cat 5 (Seating): RM198

 VIP Box (10 pax): RM5,000


Orang ramai digalakkan mengikuti saluran rasmi media sosial @gaga.entertainment atau @malamfyptimur bagi mendapatkan kemas kini dan pengumuman terkini berkaitan konsert ini.

Gaga Entertainment yang ditubuhkan pada tahun 2022 merupakan sebuah syarikat pengurusan artis, produksi acara dan perhubungan awam yang aktif menghasilkan pengalaman hiburan berimpak tinggi. Antara projek berjaya yang pernah dilaksanakan termasuk Bakul Rahmah Malaysia Madani, Konsert Minggu Ini, Jom Heboh dan Megastar Idol 2025.