Selepas enam bulan perancangan dan 60 hari persiapan intensif, Konsert Drama 15 Tahun yang berlangsung di Jio Space, Petaling Jaya pada Sabtu lalu membuktikan kematangan Drama Band sebagai sebuah kumpulan yang telah lebih sedekad berkelana dalam industri muzik tanah air. Keputusan menganjurkan konsert secara kendiri menjadi manifestasi keberanian dan keyakinan kumpulan itu terhadap perjalanan seni mereka yang dibina secara konsisten sejak awal pembabitan.
Konsert hampir tiga jam itu menyajikan 28 buah lagu, satu jumlah yang boleh dianggap mencabar memandangkan Drama Band hanya memiliki sebuah album studio yang dilancarkan pada tahun 2024. Namun, keterbatasan katalog lagu bukan penghalang buat kumpulan yang dianggotai Aepul Roza selaku vokalis, bersama Daus (bes), Adib (gitar), Padel (gitar), Syahmir (keyboard) dan Faeez (dram) untuk menampilkan persembahan yang mantap dan bertenaga di hadapan hampir 2,000 peminat yang memenuhi ruang konsert.
Tirai persembahan dibuka sekitar jam 8.30 malam dengan segmen imbas kembali perjalanan lebih sedekad Drama Band menerusi klip video yang memaparkan setiap anggota berkongsi sejarah pembabitan mereka dalam kumpulan itu. Usai sesi pengenalan, Drama Band muncul menawan pentas dengan lagu Babak Pertama, disusuli pembukaan dramatik yang dimulakan dengan alunan orkestra sebelum Aepul tampil diiringi barisan penari serta aksi akrobatik yang mencetuskan sorakan gemuruh penonton.
Pembukaan yang sarat tenaga dengan lontaran vokal mantap Aepul berjaya menghangatkan suasana dan menaikkan adrenalin peminat. Momentum itu diteruskan dengan rangkaian lagu popular termasuk ILU, Cerita Dia, JBKT, Ular dan Satu-Satu yang mengukuhkan lagi penguasaan Drama Band di atas pentas sepanjang malam tersebut.
Kehangatan persembahan diteruskan apabila Aepul tampil berduet bersama isterinya, Leez Rosli menerusi medley Makhluk Tuhan Paling Seksi dan Teman Tapi Mesra. Penonton terus dihiburkan dengan lagu Aku Yang Salah sebelum Aepul membawakan Bunga Angkasa, lagu popular daripada kumpulan Terra Rossa. Walaupun bernada tinggi, Aepul membuktikan keupayaannya menyampaikan lagu tersebut dengan penuh kawalan dan bersahaja.
Aepul kemudian mengundang sahabat baiknya, Sharul Kamal untuk berduet menerusi lagu Bayangan sebelum mereka bersama-sama menyampaikan Melompat Lebih Tinggi, lagu ikonik kumpulan Sheila On 7. Usaha Aepul dan Drama Band menganjurkan konsert ini secara sendiri, dengan sokongan Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures, wajar dipuji sebagai satu langkah berani dalam mencipta peluang di tengah cabaran industri.
Menurut Aepul, Drama Band sering tertanya-tanya mengapa mereka tidak dipanggil untuk menjayakan konsert berskala besar. Tidak mahu terus menunggu peluang yang tidak pasti, beliau mengambil keputusan untuk menganjurkan sendiri konsert tersebut walaupun sedar cabarannya bukan mudah dan memerlukan komitmen fizikal serta mental yang tinggi.
Drama Band turut mempersembahkan lagu-lagu lain seperti Jesnita, Gatal, Jiwa dan Dikoyak. Antara segmen paling mencuri tumpuan ialah paduan suara Aepul bersama penyanyi legenda Datuk Nash menerusi lagu Kamelia. Walaupun sebahagian penonton generasi muda mungkin tidak begitu mengenali figura tersebut, kehadiran Nash membuktikan bahawa aura dan kekuatan vokalnya masih berbisa, disambut dengan tepukan gemuruh penonton. Pada usia 66 tahun, vokal Nash kekal mantap dan berkarisma.
Malam semakin memuncak apabila Aepul bergandingan dengan Awiera dan Fiq menyampaikan lagu Romancinta. Keserasian vokal ketiga-tiga penyanyi itu berjaya menghidupkan suasana dan menjadi antara momen paling diingati oleh penonton. Sebagai penutup tirai, Drama Band mengundang Ammar Habir, bekas pemain gitar dan antara pelopor awal kumpulan itu, untuk bersama-sama menjayakan persembahan penutup menerusi lagu Drama, sekali gus menutup konsert dengan penuh emosi dan makna.







0 Comments
Post a Comment