Menyedari kekecewaan peminat di Sabah apabila konsert yang dijadualkan berlangsung di Kota Kinabalu pada tahun 2024 tidak menjadi kenyataan, Wali Band kini kembali dengan azam baharu untuk menebus momen yang tertangguh itu. Kumpulan yang dianggotai Faank selaku vokalis, Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (papan kekunci) bakal beraksi menerusi Konsert Wali Live in Kota Kinabalu anjuran 25th Studio bersama Infinity Love Creative Ventures yang akan berlangsung di Sabah International Convention Centre pada 12 April 2026.
Menurut Faank, mereka menyedari ramai peminat di Sabah berasa kecewa apabila konsert yang sepatutnya berlangsung sebelum ini tidak dapat direalisasikan. Katanya, mereka turut merasai kekecewaan tersebut, namun apa yang berlaku ketika itu berada di luar kawalan pihak band dan mereka sendiri tidak dimaklumkan mengenai punca pembatalan berkenaan. Justeru, apabila menerima tawaran daripada pihak penganjur untuk menjayakan konsert di Kota Kinabalu, mereka melihatnya sebagai peluang terbaik untuk menebus kembali kekecewaan peminat yang sekian lama menantikan kehadiran mereka.
Faank turut mengakui kemungkinan masih ada peminat di Sabah yang berasa ragu-ragu atau kurang yakin dengan pengumuman terbaharu ini. Namun beliau menegaskan agar peminat menantikan kehadiran mereka dan menyatakan keterujaan untuk kembali beraksi secara langsung di hadapan peminat di negeri itu.
Tiket Konsert Wali Live in Kota Kinabalu akan mula dijual pada 12 Februari 2026 dengan harga RM688 bagi kategori Cari Jodoh (VIP), RM488 bagi kategori Yank (Gold), RM288 bagi kategori Baik Baik Sayang dan RM98 bagi kategori Nenekku Pahlawanku. Tiket boleh dibeli menerusi laman sesawang ilassotickets.com, manakala maklumat terkini boleh diperoleh melalui akaun rasmi @konsertwalikembali2026 di TikTok dan Instagram. Konsert ini turut mendapat sokongan Era FM Sabah dan Era Sarawak sebagai radio rasmi, serta Astro Gempak sebagai portal rasmi.


0 Comments
Post a Comment