Tidak patah semangat dengan insiden yang berlaku pada konsert mereka di Kuala Lumpur awal tahun ini, Wali Band bangkit dengan azam baharu dan tekad untuk kembali memberikan persembahan terbaik buat para peminat di Malaysia. Kumpulan yang dianggotai Faank selaku vokalis, Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (papan kekunci) itu bakal kembali menerusi konsert solo mereka, Konsert Wali Band Kembali, yang akan berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 1 Mei 2026.

Konsert ini dianjurkan oleh GIS Entertainment & Events bersama Infinity Love Creative Ventures, iaitu pasukan penganjur sama yang sebelum ini menganjurkan Konsert RadjaWali pada 10 Januari lalu. Menurut Faank, pihaknya menyedari ramai peminat berasa kecewa kerana tidak berpeluang menikmati sepenuhnya persembahan lagu-lagu hit mereka pada konsert terdahulu. Justeru, mereka mahu kembali menebus kekecewaan tersebut menerusi konsert solo yang lebih tersusun dan memuaskan. Katanya, apa yang berlaku sebelum ini tidak mematahkan semangat mereka untuk terus beraksi di Malaysia, malah menjadi pemangkin untuk tampil dengan repertoir yang lebih padat dan menarik agar peminat benar-benar terhibur serta memperoleh kepuasan maksimum.

Mengulas mengenai keputusan untuk terus bekerjasama dengan penganjur yang sama, Faank menjelaskan bahawa mereka mempunyai alasan tersendiri dan berasa selesa dengan tahap profesionalisme serta pengalaman luas pihak penganjur dalam mengendalikan acara berskala besar. Menurutnya, insiden yang berlaku sebelum ini merupakan antara cabaran yang kadangkala tidak dapat dielakkan dalam penganjuran konsert, dan beliau yakin dengan kemampuan pasukan tersebut untuk memperbaiki segala kekurangan.

Sementara itu, wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd Aris, memaklumkan bahawa penganjuran Konsert Wali Band Kembali adalah sebagai tanda tanggungjawab dan komitmen mereka untuk menebus kembali kekecewaan penonton susulan isu yang timbul sebelum ini. Beliau menegaskan bahawa keutamaan kali ini bukanlah soal keuntungan, sebaliknya kepuasan penonton, dengan janji untuk menghadirkan persembahan yang lebih tersusun, lancar dan berkualiti.

Wali Band dijangka membawakan lebih banyak lagu hits serta rangkaian lagu popular mereka, disokong dengan persembahan pentas yang lebih mantap, bertenaga dan sarat interaksi bersama peminat. Aspek teknikal termasuk sistem bunyi, pencahayaan dan susunan acara turut diberi perhatian khusus bagi memastikan pengalaman konsert yang lebih menyeluruh dan memuaskan. Konsert ini bukan sekadar persembahan ulangan, sebaliknya simbol komitmen untuk memperbaiki keadaan dan mengembalikan kepercayaan peminat, sekali gus menjanjikan malam yang lebih meriah, emosional dan tidak dapat dilupakan.

Jualan tiket akan bermula pada 16 Februari 2026 dengan harga RM777 bagi kategori VIP, RM327 (CAT2), RM237 (CAT3), RM177 (CAT4), RM157 (CAT5), RM137 (GA), RM127 (CAT6) dan RM77 (CAT7). Penonton Konsert RadjaWali yang ingin menebus diskaun 20 peratus boleh menggunakan kod promo terdahulu untuk pembelian dalam talian. Tiket boleh dibeli menerusi laman sesawang ilassotickets.com, manakala maklumat terkini boleh diperoleh melalui akaun rasmi @konsertwalikembali2026 di TikTok dan Instagram. Konsert ini turut mendapat sokongan Era FM, Sinar dan THR Gegar selaku rakan radio rasmi serta Astro Gempak sebagai portal rasmi.