Sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026, tema #GiveToGain menekankan amalan memberi yang mampu mencetuskan perubahan positif yang berkekalan — bukan sahaja untuk orang lain, malah untuk diri sendiri. Pada tahun 2025, jumlah penduduk Malaysia mencapai 34.2 juta orang, dengan lelaki melebihi wanita iaitu 18.0 juta berbanding 16.3 juta. Namun, di sebalik angka ini tersingkap satu realiti yang lebih mendalam. Di seluruh isi rumah di Malaysia dan rantau Asia Pasifik, wanita memikul pelbagai peranan serentak — sebagai individu profesional di tempat kerja, pembuat keputusan di rumah, dan tunjang emosi keluarga. Tanggungjawab yang bertindih ini sering menyebabkan waktu makan tergesa-gesa, tidur yang tidak mencukupi, serta tekanan yang meningkat, sekali gus menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan diri.

Dr Vipada Sae-Lao, Ketua Pendidikan dan Latihan Pemakanan — Asia Pasifik, Herbalife, berkata, “Sebagai ahli Lembaga Penasihat Dietetik Herbalife, yang bekerja merentasi pelbagai budaya di Asia Pasifik, saya sering melihat satu hakikat yang sama: apabila wanita melabur dalam kesihatan diri, keluarga, tempat kerja, dan generasi akan datang turut memperoleh manfaat. Melalui kerjasama rapat dengan wanita yang mengimbangi pelbagai tanggungjawab, tema #GiveToGain menegaskan satu realiti jelas — menjaga kesihatan diri adalah antara cara paling berkesan untuk mengekalkan tenaga dan daya tahan bagi menyokong kerjaya serta keluarga.”

Wanita di rantau ini turut berdepan dengan ketidakseimbangan pemakanan yang ketara. Data terkini menunjukkan peningkatan kadar obesiti dalam kalangan orang dewasa, manakala masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak serta anemia dalam kalangan wanita usia reproduktif masih berleluasa. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024, kadar obesiti wanita adalah lebih tinggi iaitu 27.5% berbanding 19.3% lelaki. Beban berganda ini menjejaskan pelbagai aspek kehidupan — daripada kesihatan ibu dan anak hinggalah tahap tenaga dan daya tahan harian — sekali gus menekankan kepentingan wanita mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan diri melalui pilihan bijak setiap hari.

Pemakanan seimbang merupakan asas dalam mencegah penyakit, mengekalkan tenaga, kestabilan metabolik, daya tahan imun, dan penuaan sihat sepanjang hayat. Kajian menunjukkan kekurangan mikronutrien — terutamanya zat besi, folat, dan vitamin B12 — lazim dalam kalangan wanita usia reproduktif di seluruh Asia, walaupun pengambilan kalori mencukupi. Hidrasi juga memainkan peranan penting, membantu tubuh menyerap nutrien dengan optimum dan mengekalkan fungsi harian. Amalan membawa air minuman rendah gula serta pengambilan kafein secara berhemah membantu memenuhi keperluan cecair harian sekitar dua liter dan menyokong kesihatan keseluruhan.

Sepanjang kitaran hidup wanita, keperluan pemakanan berkembang seiring perubahan hormon. Hanya kira-kira 33.5% wanita mencapai pengambilan zat besi yang disyorkan berbanding 55.8% lelaki. Semasa usia haid, kehilangan zat besi meningkatkan keperluan makanan kaya zat besi seperti daging tanpa lemak, lentil, kacang, sayur berdaun hijau, dan bijirin yang diperkaya. Menggabungkan makanan ini dengan buah dan sayur tinggi vitamin C meningkatkan penyerapan zat besi. Menopaus pula membawa perubahan hormon dan metabolik yang meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular. Diet yang menyokong kesihatan jantung, termasuk buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, dan makanan kaya Omega-3 seperti ikan berlemak, biji rami, kacang walnut, dan soya membantu mengekalkan tahap kolesterol dan trigliserida yang sihat. Serat larut daripada kacang, oat, epal, dan barli pula menyokong kawalan kolesterol serta rasa kenyang, membantu pengurusan berat badan.

Mulai usia 40-an, penurunan estrogen boleh mempercepatkan sarkopenia, iaitu kehilangan kekuatan otot berkaitan usia. Aktiviti fizikal yang mencukupi, termasuk latihan rintangan, serta pengambilan protein daripada sumber seperti daging tanpa lemak, ikan, kekacang, produk tenusu, tauhu, dan biji-bijian adalah penting untuk mengekalkan otot dan kekuatan fungsi tubuh. Suplemen boleh membantu menampung kekurangan pemakanan, tetapi penggunaannya perlu disesuaikan dengan keperluan individu dan dipandu oleh profesional.


Tidur yang mencukupi, aktiviti fizikal konsisten, dan pengurusan tekanan saling berkait rapat dan memainkan peranan penting dalam pengawalan berat badan, kesihatan kulit, dan kesejahteraan mental. Aktiviti sederhana selama 150 minit seminggu digabungkan latihan rintangan meningkatkan kesihatan kardiovaskular, mengekalkan ketumpatan otot dan tulang, serta memperbaiki kualiti tidur — amat penting selepas menopaus. Pengurangan pendedahan skrin dan rutin tidur konsisten mengukuhkan kesihatan metabolik, menjadikan tidur asas penting bagi penuaan sihat dan pengurusan berat badan berterusan.

Pemakanan juga memberi kesan kepada kesejahteraan mental, meningkatkan daya tindak balas terhadap tekanan, kualiti tidur, dan kestabilan emosi. Diet kaya Omega-3, waktu makan konsisten, dan hidrasi mencukupi — sambil mengehadkan bahan rangsangan — menyokong keseimbangan emosi wanita yang menghadapi tekanan harian. Kajian menunjukkan wanita lebih stabil secara emosi apabila disokong rangkaian sosial kukuh, membantu mengurangkan stres, meningkatkan kesejahteraan, dan memberi impak positif kepada keluarga, komuniti, tempat kerja, dan ekonomi.

Secara ringkas, kesejahteraan jangka panjang dibentuk oleh pilihan harian yang dibuat sejak awal sebelum sebarang gejala membimbangkan muncul. Memberi kepada diri sendiri — melalui pemakanan konsisten dan penjagaan pencegahan — bukan tentang melakukan lebih banyak, tetapi melakukannya dengan lebih berhemah dan konsisten. Selamat Hari Wanita Antarabangsa. Semoga wanita Malaysia kekal kuat, sihat, dan bertenaga.