Persatuan Karyawan Malaysia terus komited dalam memperjuangkan kebajikan penggiat seni tempatan menerusi penganjuran Golf Amal Selebriti Kali Ke-5 yang akan berlangsung pada Ahad, 10 Mei 2026 bermula jam 12.00 tengah hari di Kota Seriemas Golf & Country Club. Program ini akan disusuli dengan Makan Malam Gala serta Majlis Penyampaian Hadiah.

Penganjuran edisi kelima ini mendapat sokongan FINAS dan membawa misi mengumpul dana kebajikan bagi membantu artis serta penggiat filem di bawah PROFIMA. Pada masa yang sama, ia turut memperkukuh sinergi antara industri seni, sektor korporat dan masyarakat melalui platform berimpak tinggi berteraskan tanggungjawab sosial.


Menurut Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Hans Isaac selaku Pengerusi FINAS serta Azmir Saifuddin Mutalib atas sokongan dan komitmen mereka, termasuk penyertaan secara langsung dalam acara ini.

Program ini merupakan kesinambungan kejayaan penganjuran terdahulu yang telah berlangsung di Templer Park Country Club, Staffield Country Resort, Kelab Golf Perkhidmatan Awam Malaysia dan Kota Seriemas Golf & Country Club. Ia sekali gus membuktikan Golf Amal Selebriti sebagai inisiatif kebajikan yang konsisten dan terus menerima sokongan pelbagai pihak.

Sehubungan itu, pihak penganjur menyeru syarikat korporat, GLC, institusi kewangan serta rakan strategik untuk tampil menyokong melalui kategori penajaan seperti Gold Sponsor berjumlah RM10,000 yang merangkumi lapan pemain atau dua flight percuma, Silver Sponsor RM5,000 dengan empat pemain atau satu flight percuma, serta Hole Sponsor RM1,000 yang merangkumi dua pemain percuma.


Semua penaja akan menerima liputan promosi menyeluruh menerusi kempen media, bahan publisiti rasmi, pengiktirafan semasa sidang media termasuk sesi penyerahan mock cheque, serta penjenamaan semasa hari kejohanan berlangsung. Selain itu, penyertaan individu juga dibuka kepada pemain golf dan penyokong yang ingin bersama-sama menyumbang kepada usaha kebajikan ini.

Golf Amal Selebriti bukan sekadar kejohanan golf, tetapi sebuah platform kebajikan yang menyatukan industri, korporat dan masyarakat dalam membantu artis serta pekerja filem yang memerlukan. Sokongan yang diberikan bukan hanya berbentuk penajaan acara, tetapi juga sumbangan bermakna kepada kebajikan penggiat seni yang telah banyak berjasa kepada landskap seni dan budaya negara.

Sumbangan penajaan boleh disalurkan ke akaun Persatuan Karyawan Malaysia, Public Bank: 3108024130. Untuk maklumat lanjut dan penyertaan, sila hubungi Dato’ Freddie Fernandez di 012-2071400, emel fredez2009@gmail.com atau layari karyawan.my.

“Ayuh semua kaki golf, bersama beraksi sambil berbakti.”