Bagaimana jika demi kebahagiaan seorang anak, seorang ayah terpaksa menyembunyikan siapa dirinya yang sebenar? Bayangan Lelaki Sempurna di slot Akasia TV3 membawa penonton menyelami dilema seorang bapa tunggal yang sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan anaknya terus dilindungi.

Dibintangi oleh Adam Lee dan Sweet Qismina, drama arahan Ejump Mohamad ini mengangkat kisah Ammar, seorang penjual ikan yang membesarkan anaknya, Aqish, dengan penuh kasih sayang walaupun hidup dalam serba kekurangan. Dalam rutin hariannya, Ammar turut dibantu oleh jiran mereka, Zulin, serta Zara Milda lakonan Sweet Qismina, yang sentiasa ada di sisi mereka. Namun, kehidupan sederhana itu mula diuji apabila Aqish memerlukan rawatan asma yang memerlukan kos yang tinggi.

Terdesak untuk mencari jalan keluar, Ammar mencipta identiti baharu sebagai “Luth Zafran”, seorang pempengaruh media sosial yang hidup dalam dunia serba mewah. Kehidupan barunya membuka peluang yang tidak pernah dibayangkan, termasuk perhatian daripada Dahlia Rizwani lakonan Riena Diana. Namun, di sebalik kejayaan tersebut, Ammar semakin terperangkap dalam permainan identiti yang berisiko memusnahkan segalanya.

Menurut Adam Lee, watak Ammar menggambarkan realiti pengorbanan seorang ayah yang sanggup mengetepikan dirinya demi anak. Dia percaya bahawa kekuatan watak ini terletak pada keikhlasan kasih sayang yang mendorong Ammar untuk terus berjuang walaupun dalam keadaan yang sukar.

Drama terbitan Zamriez Golden Pictures Sdn. Bhd. ini mengandungi 28 episod dan turut menampilkan barisan pelakon seperti Riena Diana, Maya Fathia, Wanns Ahmad dan Amin Iman yang memperkuatkan lagi jalan cerita penuh konflik dan emosi ini.

Bayangan Lelaki Sempurna akan mula bersiaran pada 9 April, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Penonton juga berpeluang menonton episod baharu lebih awal melalui aplikasi Tonton atau laman web rasmi www.tonton.com.my, serta mengikuti perkembangan terkini di media sosial rasmi TV3 dan Drama Sangat.