Industri perfileman tempatan bakal diserikan dengan kemunculan filem komedi-drama Libang Libu yang akan mula ditayangkan di seluruh pawagam negara bermula 23 April ini. Mengangkat naratif perpaduan dalam pendekatan santai dan dekat dengan kehidupan seharian, filem ini hadir pada masa yang tepat dengan gabungan pelakon berpengalaman serta nama-nama “award-winning” tanah air.

Dalam landskap industri filem tempatan hari ini, penonton Malaysia semakin lama tidak disajikan dengan karya yang benar-benar memberi ruang untuk mereka berehat dan menikmati hiburan secara santai. Kebanyakan filem kebelakangan ini membawa tema yang lebih intens dan emosional, menjadikan pengalaman menonton lebih berat. Libang Libu hadir mengisi kekosongan tersebut dengan sebuah naskhah yang kembali kepada asas hiburan iaitu ketawa, relaks dan menikmati momen tanpa perlu terlalu berfikir.

Diterbitkan oleh Tangerine Films Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh Bobby Husaini, Libang Libu membawa penonton menyelami kisah sebuah produksi filem bukan Melayu yang menjalankan penggambaran di sebuah kampung Melayu di Perak. Pertembungan budaya, agama dan gaya hidup menjadi teras penceritaan, disulami elemen komedi dan drama yang dekat dengan realiti masyarakat Malaysia.


Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Amerul Affendi, Beto Kusyairy, Nabila Huda, Zahiril Adzim, Ozlynn Wati, Fikry Ibrahim, Sabri Yunus, Khir Rahman dan Azhan Rani, selain penampilan khas Datuk Yusof Haslam, Bront Palarae dan Nadiya Nisaa. Gabungan ini menguatkan lagi daya tarikan filem yang sarat dengan elemen hiburan serta nilai kemanusiaan.

Menurut pengarahnya, Bobby Husaini, Libang Libu bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi sebuah naskhah yang membawa makna lebih besar dengan menghidupkan semula pengalaman menonton yang santai tetapi bermakna. Beliau berkata filem ini bertujuan mengajak penonton ketawa bersama di pawagam dalam suasana yang rileks bersama keluarga dan rakan, dengan fokus kepada momen yang dikongsi berbanding mesej yang terlalu berat.

Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan penceritaan dibina secara ringan tetapi berlapis bagi memastikan mesej perpaduan dapat disampaikan tanpa terlalu didaktik. Dalam gelak tawa yang dipaparkan, terselit sindiran halus terhadap realiti sosial masyarakat, menjadikan filem ini lebih dekat dan bermakna kepada penonton.

Dalam masa sama, Bobby mengakui cabaran utama adalah menyeimbangkan elemen komedi dan sensitiviti budaya. Setiap perbezaan budaya dan agama ditangani dengan teliti melalui perbincangan bersama pasukan produksi dan pelakon bagi memastikan setiap babak kekal autentik, jujur dan tidak menyinggung mana-mana pihak.

Sementara itu, wakil penerbit Tangerine Films Sdn. Bhd. menyatakan bahawa Libang Libu lahir daripada kepercayaan terhadap kekuatan cerita tempatan yang dekat dengan kehidupan masyarakat. Filem ini menampilkan kisah Malaysia sebenar dengan nilai produksi yang berkualiti serta barisan pelakon yang kredibel.


Dengan durasi 1 jam 47 minit, Libang Libu menjanjikan pengalaman tontonan yang menghiburkan, penuh emosi serta sarat mesej tentang perpaduan, toleransi dan keindahan kepelbagaian budaya Malaysia. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Libang Libu di pawagam berhampiran bermula 23 April ini, sebuah filem yang bukan sahaja mencuit hati tetapi juga menyentuh jiwa.