Industri perfileman tanah air bakal melakar sejarah baharu menerusi pelancaran filem Masterpiece - Hidden Wonders Of The World, sebuah naskhah Muzikal Islamik unik yang julung kali diterbitkan di peringkat global.

Diterbitkan secara kolaborasi antara Phenomena Asia At Work Sdn Bhd dan My Jannah International Production Sdn Bhd, filem arahan sutradara berpengalaman, Imran Haji Ismail ini telah mendapat kelulusan penuh daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan kini bersiap sedia untuk menemui penonton di bawah skim Wajib Tayang FINAS.

Inovasi Dakwah Melalui Sinema

Filem ini mengangkat konsep "Idea Genius" dengan mengadunkan visual sinematik bersama lantunan suci Al-Quran. Buat pertama kalinya di Malaysia, sebuah naskhah layar lebar memfokuskan kepada enam surah pilihan yang menjadi amalan harian umat Islam:

  • Surah Al-Fatihah
  • Surah Al-Kahfi
  • Surah Yassin
  • Surah Al-Waqiah
  • Surah Ar-Rahman
  • Surah Al-Mulk

Keistimewaan utama filem ini terletak pada alunan murottal yang dibawakan khas oleh tokoh tersohor, Imam Yusuf Rebu Al Muqri’. Gabungan suara merdu beliau dengan sinergi keindahan alam semula jadi di Pulau Langkawi menjadikan filem ini sebuah karya seni yang bukan sahaja memukau pandangan, malah menyentuh sanubari penonton.

Karya Agung Untuk Ummah

Pihak penerbit menyifatkan Masterpiece - Hidden Wonders Of The World sebagai satu bentuk naskhah pengabdian yang bertujuan untuk mendekatkan masyarakat kepada kalam Allah menerusi medium hiburan santun.

"Ini bukan sekadar filem, tetapi sebuah perjalanan spiritual. Kami berharap karya ini menjadi asbab hidayah dan rahmat Allah SWT buat seluruh ummah yang menontonnya," ujar wakil pihak penerbitan.

Tarikh tayangan rasmi di pawagam seluruh negara akan diumumkan dalam masa terdekat. Pihak media dan orang ramai dijemput untuk menyokong naskhah tempatan yang membawa mesej murni ini.